Lulusan Universiti Al-Azhar tidak menyesal niaga baulu telur itik
JEMPOL - Ingin mencurahkan bakti kepada kedua orang tuanya di kampung mendorong seorang wanita di sini mengusahakan perniagaan kuih baulu sabut telur itik milik keluarganya di sini.
Shahira Mazli, 27, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ulum Islamiah Jabatan Syariah,Universiti Al-Azhar, Mesir ini sama sekali tidak menyesal dengan keputusannya itu meskipun mempunyai kelulusan berkenaan.
"Sebelum saya pulang ke tanah air, saya sudah dapat kerja berkaitan bidang yang saya pelajari, namun saya menolaknya selepas mengambil kira pelbagai faktor selain mahu berada dekat dengan mak dan ayah.
"Mak telah mulakan perniagaan ini dengan beberapa produk lain semasa menetap di Port Dickson iaitu sejak saya berada di Mesir lagi yang mana ketika itu semua hal berkaitan promosi dan pemasaran produk saya uruskan secara dalam talian," katanya ketika ditemui pemberita.
Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, bapanya pula terpaksa bersara awal sebagai penghantar surat susulan lumpuh pada tahun 2018 selepas terkena jangkitan kuman pada kaki ketika meracun rumput.
"Ia sekali gus menyebabkan pendapatan keluarga bergantung kepada perniagaan ini.
"Jadi selepas tamat pengajian pada 2021 saya secara serius berniaga dengan membuka premis di Batu Kikir lebih kurang dua tahun lalu. Lagipun kampung mak dan ayah di Jempol sahaja.
"Kami fokus berniaga baulu sabut telur itik sesuai dengan resipi asalnya menggunakan telur tersebut, berbeza ketika ini yang kebanyakkan menggunakan telur ayam," katanya.
Katanya, sehingga kini mereka sekeluarga masih dalam proses pembelajaran dalam memastikan produk yang dihasilkan itu bertahan lama termasuklah dari segi pengiraan kos bahan, upah pekerja mahir dan lain-lain.
"Kalau tengok baulu sabut telur itik ini agak gelap sedikit berbanding baulu telur ayam, harganya pun mahal sikit tetapi saya yakin kalau produk kita betul-betul berkualiti orang tetap cari.
"Tetapi tawakal kita dalam mencari rezeki dalam bidang perniagaan ini tinggi sebab kita tidak tahu esok perniagaan ini macam mana, ada untung tak, ada gaji atau tidak.
"Bagaimanapun, kami tetap yakin kalau usaha pasti ada hasilnya, ALLAH dah tentukan," katanya yang juga seorang mutawif.
Dalam pada itu Shahira gembira malah lega apabila dapat mencurahkan bakti kepada kedua orang tuanya walaupun ada yang berpendapat boleh sahaja bekerja jauh tetapi kebajikan ibu bapa tetap diutamakan.
"Apabila kita berniaga ini masa kita fleksibal sebab saya pegang macam itulah, saya khidmat pada mak ayah ALLAH sudah siapkan sesuatu untuk saya dan tidak dinafikan ujian tetap ada.
"Asalkan kita taat pasti ada balasan yang baik menanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!