20.8 hektar tanah laksana projek pertanian UniMAP AgroNexus

Zaliman (tengah) di tapak Projek Pengeluaran Agromakanan UniMAP AgroNexus di Sungai Chuchuh, Padang Besar pada Khamis. FOTO UNIMAP
Zaliman (tengah) di tapak Projek Pengeluaran Agromakanan UniMAP AgroNexus di Sungai Chuchuh, Padang Besar pada Khamis. FOTO UNIMAP
A
A
A

PADANG BESAR - Seluas 20.8 hektar tanah diusahakan bagi melaksanakan empat projek di bawah agensi dan syarikat termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perlis bagi menjayakan pembangunan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) AgroNexus di Sungai Chuchuh, dekat sini.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, daripada jumlah itu, Projek Pengeluaran Agromakanan telah diusahakan oleh LPP Negeri Perlis melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Siding, PPK Paya dan PPK Titi Tinggi melibatkan tanah seluas 10 hektar.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan penanaman ubi keledek, serai, bunga kantan dan limau kasturi.

"Selain itu, Koperasi Al-Najah Kuala Lumpur Berhad pula mengusahakan tanaman cili fertigasi yang melibatkan keluasan lapan hektar tanah bagi menampung permintaan cili di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, UniMAP AgroNexus turut melibatkan penglibatan alumni UniMAP iaitu syarikat Ahsan Legacy di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar tanah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-up) dengan geran padanan sebanyak RM100,000 untuk tanaman sayuran.

“Begitu juga satu lagi Projek Ternakan Ikan Air Tawar Sistem RAS juga diusahakan oleh Alumni UniMAP melalui Syarikat Bangun Subuh Empire yang melibatkan penternakan ikan menggunakan tujuh sistem RAS iaitu satu kaedah penternakan di dalam tangki fiber,” ujarnya.

Zaliman berkata lagi, UniMAP AgroNexus dibangunkan bagi memantapkan program akademik, penyelidikan dan latihan agri-TVET di plot pertanian melalui jalinan kerjasama industri berasaskan pertanian yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti tempatan.

Menurutnya, pembangunan projek ini turut menaiktaraf kawasan dan infrastruktur hak milik UniMAP di kampus Sungai Chuchuh dan pada masa yang sama menyokong pembangunan pertanian komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

“UniMAP AgroNexus ini turut berperanan menyediakan prasarana ladang untuk aktiviti pertanian kepada syarikat-syarikat milik graduan UniMAP serta industri dan agensi kerajaan agar berdaya saing dalam teknologi pertanian dengan UniMAP bersedia berkongsi kepakaran teknikal dan projek inovasi hasil penyelidikan sekaligus membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pihak syarikat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!