'Suspek libas pisau ke leher, mujur terkena tudung'

Kesan koyakan pada tudung mangsa serangan lelaki bersenjatakan pisau di kawasan surau sebuah sekolah di Kelana Jaya pada Jumaat.
Kesan koyakan pada tudung mangsa serangan lelaki bersenjatakan pisau di kawasan surau sebuah sekolah di Kelana Jaya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - "Suspek cuba libas pisau ke leher ustazah (guru besar), mujur terkena tudungnya sebelum suspek cuba mencederakannya di anggota badan lain pula."

Demikian kata seorang saksi yang juga guru Sekolah Agama Rakyat Kafa Ehsaniah ketika menceritakan semula detik cemas kejadian lelaki bersenjata pisau rambo menyerang dua wanita di surau sekolah berkenaan di Kelana Jaya pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, dua wanita cedera iaitu guru besar berusia lingkungan 52 tahun dan jurujual berumur 26 tahun.

Guru, Ezzatul Umairah Ezlyshah, 29, berkata, dia yang berada di lokasi berhampiran hanya diberitahu insiden itu daripada anak guru besar terbabit.

Ezzatul memujuk dua anak mangsa yang menunggu ibunya ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Shah Alam pada Jumaat.
Ezzatul memujuk dua anak mangsa yang menunggu ibunya ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Shah Alam pada Jumaat.

Menurutnya, kejadian berlaku pada waktu rehat di mana sebahagian guru serta murid berada di surau dan kantin sekolah.

"Ketika itu, ustazah (guru besar) terdengar suara wanita menjerit meminta tolong di satu tembok bilik air.

"Ustazah terus meluru ke arah bilik air sebelum bertembung dengan seorang lelaki memakai pelitup muka lalu bertanya kenapa? Lelaki itu beri respons tiada apa lalu mengeluarkan pisaunya dan melibas ke arah leher," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Hospital Shah Alam di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ezzatul, mujur libasan itu mengenai tudung, namun suspek bertindak menyerang dan mencederakan di bahagian perut dan tangan.

Katanya, suspek kemudian terus meluru keluar menuju ke keretanya dan terus melarikan diri.

"Kejadian itu juga disaksikan tiga anak perempuan ustazah yang turut berada di surau terbabit.

"Bila berlaku insiden itu, murid yang berada di situ menjerit dan menangis kerana ketakutan.

"Panggilan kecemasan 999 terus dibuat sebelum ambulans dan polis tiba di lokasi. Ustazah dan seorang lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.48 petang.

Tegasnya, usaha mengesan suspek dipercayai lelaki tempatan giat dijalankan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

@sinarharianonline

'Suspek libas pisau ke leher, mujur terkena tudung' #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Nasional #Jenayah #Senjata #Pisau #Sekolah #Guru #Ustazah

News - ComaStudio

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!