Terjunan ketiga, keempat ragut podium Nur Dhabitah
[DIKEMAS KINI] PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri bermula cemerlang pada dua terjunan pertama dalam acara final 3 meter (m) papan anjal wanita Olimpik Paris.
Dhabitah menamatkan terjunan pertama di kelompok tiga teratas selepas mengutip 63.00 mata.
Di terjunan kedua, atlet berusia 25 tahun itu mencatat 60.00 mata, namun 'malapetaka' menimpa Dhabitah di terjunan ketiga dan keempat sekali gus meragut peluang podium di Pusat Akuatik Paris.
Take Off dan Entry kurang kemas menyebabkan Dhabitah sekadar mengutip 37.50 dan 28.50 mata.
Dhabitah mengumpul 244.80 mata keseluruhan selepas lima terjunan untuk menamatkan saingan di tangga tercorot daripada 12 peserta.
Pingat emas milik penerjun Chen Yiwen (376.00 mata) dan rakan senegara, Chang Yani meraih gangsa (318.75) manakala perak dirangkul Maddison Keeney dari Australia (343.10).
Sebagai rekod, Dhabitah ke final selepas mengumpul 286.95 mata untuk berada di kedudukan kelapan daripada 18 penerjun.
Dia menyertai Olimpik Paris 2024 menerusi tiket wild card, namun kejayaan melangkah ke pentas final 3m papan anjal wanita wajar diberikan pujian.
Pada edisi Tokyo 2020, Dhabitah menamatkan saingan individu di tempat keempat dengan 326.15 mata, manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama menemui penamat di tempat tercorot daripada lapan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!