Memahami tahap prestasi atlet elit

Ahmad Faedzal. Foto RTM.
Ahmad Faedzal. Foto RTM.
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkongsi mengenai tiga kategori prestasi yang dijelmakan oleh para atlet elit semasa bersaing pada temasya dunia termasuk pada Sukan Olimpik 2024 di Paris ketika ini.

Beliau berkata, tıga kategori tersebut adalah prestasi puncak (peak performance), prestasi tinggi (high performance) dan prestasi optimum (optimal performance).

"Sebelum bertolak ke Sukan Olimpik Paris, saya sempat hadir ke rancangan Spodcast RTM bagi berkongsi mengenai inisiatif serta perancangan Team ISN sebagai pasukan yang memberi perkhidmatan kepakaran perubatan sukan, sains sukan dan inovasi sukan kepada atlet Team MAS bagi Sukan Olimpik 2024.

"Sukan Olimpik adalah platform terbaik untuk kita lebih memahami mengenai situasi serta cabaran yang dihadapi oleh atlet prestasi tinggi dari seluruh dunia. Apabila kita lebih memahami, kita akan lebih empati," katanya menerusi catatan di Facebook pada Jumaat.

Beliau menjelaskan prestasi puncak merujuk kepada atlet yang mencapai tahap prestasi tertinggi mutlak mereka semasa pertandingan atau acara.

"Ia sering dikaitkan dengan personal best, catatan rekod baharu atau detik-detik yang menonjol dalam perlawanan atau pertandingan. Ianya memerlukan gabungan kesediaan fizikal, tumpuan mental dan faktor persekitaran yang hadir dengan sempurna (aligning perfectly)," katanya.

Menurut Ahmad Faedzal, kategori kedua adalah tahap prestasi tinggi di mana atlet secara konsisten menunjukkan prestasi melebihi tahap purata atau standard mereka.

Tambahnya, ia menekankan kepada kecemerlangan berterusan (sustained excellence) sepanjang musim atau kerjaya, bukannya hanya pada suatu ketika atau acara sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan latihan yang konsisten, disiplin serta keupayaan mengekalkan kesihatan fizikal dan mental untuk sentiasa berada di tahap prestasi yang tinggi," katanya.

Beliau menambah, kategori ketiga adalah prestasi optimum yang memfokus kepada mencapai prestasi terbaik sambil mengekalkan keseimbangan dan kemampanan.

"Faktor-faktor seperti pencegahan kecederaan, pemulihan dan pembangunan jangka panjang sering menjadi pertimbangan atlet.

"Lebih kepada penggalakkan pendekatan holistik serta gabungan aspek pemakanan, latihan mental dan pilihan gaya hidup untuk menyokong prestasi puncak tinggi bagi mengurangkan risiko ‘burnout’ atau kecederaan," ujar Ahmad Faedzal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!