Cubre Mi fail saman fitnah terhadap bekas ejen
KAJANG – Syarikat kosmetik, Cubre Mi Sdn. Bhd. (Cubre Mi) telah memfailkan saman terhadap seorang bekas ejen mereka atas dakwaan memfitnah syarikat tersebut melalui platform media sosial pada April lalu.
Menurut peguam syarikat, Datuk Adnan Seman, saman tersebut difailkan pada 24 Jun 2024 dan mahkamah telah menetapkan 20 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes.
"Saman ini berkaitan penerbitan kenyataan oleh defendan pada 18 April 2024 di Facebook, yang mendakwa ibu pejabat Cubre Mi menganiaya defendan dengan menjual produk pada harga lebih rendah daripada harga runcit," kata Adnan dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Pengasas Cubre Mi, Afzalizah Nizam Azizan di Bangi, pada Rabu.
Tambahnya lagi, hantaran tersebut turut dikongsikan di Instagram dan TikTok, yang seterusnya mencetuskan pandangan negatif terhadap reputasi serta imej Cubre Mi.
"Defendan yang disaman juga telah memfailkan pembelaan mereka," jelas Adnan.
Beliau turut menjelaskan bahawa anak guamnya mendakwa harga rendah yang ditawarkan adalah untuk tempoh singkat bagi produk yang mengalami kecacatan pada bungkusan atau hampir tamat tarikh luput.
Jelasnya, langkah ini juga bertujuan memperkenalkan produk tersebut kepada lebih ramai pengguna dengan harga yang lebih berpatutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!