Tumpu pelaburan skala besar dalam tiga aspek

GLIC dan GLC perlu mengutamakan pelaburan berskala besar dalam tiga aspek rantaian nilai bagi memastikan ekonomi domestik terus berdaya maju pada masa akan datang. (Gambar kecil: Aimi Zulhazmi)
GLIC dan GLC perlu mengutamakan pelaburan berskala besar dalam tiga aspek rantaian nilai bagi memastikan ekonomi domestik terus berdaya maju pada masa akan datang. (Gambar kecil: Aimi Zulhazmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengutamakan pelaburan berskala besar dalam tiga aspek rantaian nilai bagi memastikan ekonomi domestik terus berdaya maju pada masa akan datang.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan produk dan perkhidmatan yang dicipta oleh syarikat tempatan harus diutamakan dalam usaha menaikkan taraf ekonomi negara hingga mencapai status berpendapatan tinggi.

Selain itu menurutnya, fokus tersebut secara tidak langsung boleh membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi entiti berjaya dan berpotensi disenarai sebagai syarikat awam.

"Sekiranya dilaksanakan dengan baik, ia akan merubah ekonomi negara kepada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih, terutama dalam bidang semi konduktor, pusat data dan AI (kecerdasan buatan).

"Untuk menaikkan taraf ekonomi bagi mencapai status berpendapatan tinggi, maka 'niche' yang dipilih perlu dibangunkan secara keseluruhan rantaian nilai domestik dalam industri berkaitan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini Kementerian Kewangan mengumumkan enam GLIC utama telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur RM120 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu Aimi Zulhazmi berpendapat, komitmen pelaburan mencecah ratusan bilion ringgit itu mampu mewujudkan ekosistem domestik yang kukuh agar Malaysia dapat mengekalkan kedudukan dalam rantaian global untuk jangka masa panjang.

Memberi contoh industri teknologi maklumat (IT), beliau menjelaskan, Malaysia berpeluang menjadi pemain penting dalam pengeluaran semi konduktor dunia selain aktif menarik pelaburan strategik untuk penubuhan pusat-pusat data paling strategik di rantau Asia.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!