'Kami hilang segala-galanya'

Suad (duduk, dua dari kanan) bersama Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (tiga dari kanan) ketika melancarkan program bantuan tunai keluarga Gaza baru-baru ini.
Suad (duduk, dua dari kanan) bersama Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (tiga dari kanan) ketika melancarkan program bantuan tunai keluarga Gaza baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan dan kekejaman Israel adalah golongan paling sengsara mengharungi kehidupan di Gaza.

Koordinator projek Bina Semula Gaza-Mapim (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Dr Suad Ghaben berkata, kehidupan mereka musnah sama seperti kemusnahan bandar yang dibedil rejim Zionis menyebabkan kebanyakan penduduk hanya tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, harapan untuk melihat anak-anak meneruskan persekolahan juga musnah kerana kebanyakan sekolah turut menjadi sasaran.

Suad Ghaben
Suad Ghaben

“Semua orang di Gaza memerlukan segala-galanya terutama wanita dan kanak-kanak. Daripada makanan, penjagaan kesihatan, barangan kebersihan diri termasuk pakaian.

“Kami berusaha menyediakan pakaian Muslimah untuk wanita di Gaza kerana kebanyakan yang berpindah dari rumah mereka, keluar dengan memakai satu-satunya baju yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Suad yang merupakan warganegara Palestin menyertai Mapim beberapa bulan lalu dalam misi membangunkan semula Gaza menerusi program bantuan wang tunai yang disalurkan kepada keluarga di Gaza.

Suad memaklumkan, 72 peratus daripada mangsa perang adalah wanita dan kanak-kanak di mana 10,798 wanita syahid, sementara 6,000 ibu meninggalkan 19,000 anak yatim.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat sekitar 60,000 wanita hamil berdepan risiko kerana perlu melahirkan anak tanpa ubat penahan sakit akibat kemudahan perubatan juga musnah.

Sebahagian wanita dan kanak-kanak terpaksa meninggalkan kediaman yang musnah dan ditempatkan di pusat perlindungan.
Sebahagian wanita dan kanak-kanak terpaksa meninggalkan kediaman yang musnah dan ditempatkan di pusat perlindungan.

“Dianggarkan lebih 3,000 wanita bergelar balu. Terdapat 14,000 keluarga pula terpaksa bergantung kepada wanita sebagai ketua keluarga,” ujarnya.

Menurutnya, sejuta kanak-kanak di Gaza memerlukan sokongan kesihatan mental dan psikososial kerana sekitar 17,000 kanak-kanak tidak ditemani ibu bapa atau dipisahkan.

“Amat menyedihkan 16,172 kanak-kanak syahid dan sekitar 34 meninggal dunia akibat kebuluran,” katanya.

Suad berkata, dianggarkan 625,000 pelajar kini tiada akses kepada pendidikan, malah turut mengorbankan 8,227 pelajar dan 391 kaki tangan pendidikan di sana.

“Sebanyak 69 peratus bangunan sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan iaitu 238 buah daripada 345 buah rosak teruk akibat dibom,” ujarnya.

Suad (kanan) sedih melihat poster kesengsaraan kanak-kanak di Gaza.
Suad (kanan) sedih melihat poster kesengsaraan kanak-kanak di Gaza.

Menurutnya, lebih 60 peratus bangunan kediaman dan lebih 80 peratus kemudahan komersial mengalami kerosakan teruk setakat Januari 2024 seperti dilaporkan Bank Dunia.

“Setakat Mei, dianggarkan 65 peratus daripada rangkaian jalan raya turut musnah dibedil bom Israel,” katanya.

Suad berkata, disebabkan kemusnahan menyeluruh itu, pemberian wang tunai difikirkan lebih sesuai agar mereka dapat membeli barangan keperluan berbanding mengagihkan bantuan kemanusiaan.

“Itu antara sebab kami salurkan bantuan wang tunai, bukannya bantuan kemanusiaan. Apabila mereka mempunyai wang, mereka boleh dapatkan apa yang paling diperlukan sama ada barangan kebersihan diri atau pakaian,” ujarnya.

Ketika ditanya perasaan membantu negara kelahirannya dari jauh, Suad sebak dan mengakui belum berpuas hati dengan apa yang diusahakan.

“Saya rasa bersalah kerana saya selamat di sini (Malaysia) tetapi mereka tidak.

“Namun dengan melakukan kerja-kerja kemanusiaan ini, sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk bantu mereka,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!