Selangor senaraikan Faisal berdepan Kelantan

IMBAS KEMBALI...Faisal semasa sesi pemanas badan sebelum perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Selangor menentang Terengganu di Petaling Jaya, baru-baru ini.
IMBAS KEMBALI...Faisal semasa sesi pemanas badan sebelum perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Selangor menentang Terengganu di Petaling Jaya, baru-baru ini.
A
A
A

PEMAIN lincah Selangor FC, Faisal Halim sekali lagi menjadi taruhan The Red Giants dalam misi tiga mata kelab Lembah Klang itu apabila melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Malah pengendali Red Giants, Nidzam Jamil mengakui gembira dengan keterujaan pemain dari Seberang Perai, Pulau Pinang itu untuk membantu finalis Piala FA berkenaan beraksi selepas disenaraikan sebelum ini berdepan Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pada 3 Ogos lalu.

Tambahnya, dia juga bangga dengan komitmen Faisal lebih dikenali Mickey apabila konsisten berlatih menyaksikan bekas pemain skuad Penyu itu disenaraikan dalam senarai 20 pemain berdepan Kelantan Darul Naim.

“Biarpun begitu esok, sama ada Mickey diturunkan atau sebaliknya bergantung juga kepada prestasi pemain-pemain lain.

“Kita juga akan melihat kepada perlawanan tersebut berlangsung sekiranya terdapat kesesuaian atau keperluan, sudah tentu Mickey akan dimasukkan pada separuh masa kedua.

“Sebenarnya kita amat gembira apabila Mickey dapat kembali bersama ketika berdepan Terengganu selepas tiga bulan tidak bersama pasukan sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat sambil menyifatkan mood Faisal dan keseluruhan pemain Selangor berada pada tahap positif selepas perlawanan Piala FA.

Anak buah Nidzam kini menghuni tangga kedua liga dengan 13 mata hasil empat menang, satu seri dan dua tewas selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Kelantan pun berada di kedudukan tercorot liga dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan enam kekalahan juga selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai status pasukan Kijang Emas yang berada di tangga terakhir dalam kalangan 13 pasukan Liga Super musim ini, Nidzam tidak mahu status kelab pantai timur itu dipandang rendah pemain-pemainnya.

“Status terkini Kelantan tidak menjadikan pasukan itu lemah, sebaliknya kita tetap menghormati setiap pasukan lawan yang kita hadapi musim ini.

“Malah kita perlu lebih berwaspada dan berdisiplin dengan corak permainan ditampilkan pasukan Kelantan yang akan menghadirkan banyak masalah sekiranya kita memandang rendah keupayaan mereka,” katanya.

Mengenai status pemain-pemain Selangor berdepan Kelantan, Nidzam berkata: “Muhammad Mukhairi Ajma Mahadi masih mengalami kecederaan bahagian hip, selain itu Noor Al-Rawabdeh juga berada dalam situasi 50/50 kerana baru sahaja menjalani sedikit pembedahan di bahagian mukanya.”

LIGA SUPER 2024/25

JADUAL PERLAWANAN

10 OGOS (SABTU)

Selangor lwn Kelantan Darul Naim

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 5.30 petang)

Kuala Lumpur City lwn Terengganu

(Stdm Bolasepak Kuala Lumpur, 9 malam)

11 OGOS (AHAD)

Kuching City lwn Penang

(Stdm Negeri, 4.45 petang)

Negeri Sembilan lwn PDRM

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 malam)

* Tarikh, masa, venue tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!