Menang emas Olimpik berkat duit orang kampung

Arshad mencipta sejarah muncul penyumbang emas individu pertama Pakistan dalam sejarah penyertaan negara itu Sukan Olimpik. - AFP
Arshad mencipta sejarah muncul penyumbang emas individu pertama Pakistan dalam sejarah penyertaan negara itu Sukan Olimpik. - AFP
A
A
A

ARSHAD Nadeem menghadiahkan emas sulung Pakistan di Sukan Olimpik buat pertama kali dalam tempoh 32 tahun selepas mengungguli acara rejam lembing lelaki yang berlangsung di Stade di France pada Jumaat.

Perejam berusia 27 tahun itu menang dengan rekod Olimpik 92.97 meter (m) mengatasi juara bertahan dari India, Neeraj Chopra yang meraih perak dengan 89.45m manakala atlet Grenada, Anderson Peters merangkul gangsa dengan 88.54m.

Namun ada kisah menarik di sebalik kejayaan tersebut di mana Arshad layak ke Paris menggunakan dana sendiri hasil sumbangan daripada orang kampungnya.

Arshad Nadeem melakukan sujud syukur sebaik memenangi pingat emas. - AFP
Arshad Nadeem melakukan sujud syukur sebaik memenangi pingat emas. - AFP

Arshad melakukan persiapan ala kadar ke Paris kerana tidak mampu membeli peralatan, tiada fasiliti latihan dan juga tidak mendapat tajaan daripada kerajaan.

Bapanya, Muhammad Ashraf memberitahu, orang kampung bergotong-royong mengumpul dana bagi membolehkan Arshad meneruskan latihan demi impian menggenggam pingat di Olimpik Paris.

“Orang ramai tidak tahu bagaimana Arshad sampai ke tahap ini. Bagaimana rakan sekampung dan saudara-mara sering menyumbang wang supaya dia dapat pergi ke bandar-bandar lain untuk latihan dan menyertai pertandingan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kampung dan saudara-mara berkumpul di kediaman keluarga Arshad Nadeem di Mian Channu bagi menonton siaran langsung acara rejam lembing Sukan Olimpik Paris. - AFP
Penduduk kampung dan saudara-mara berkumpul di kediaman keluarga Arshad Nadeem di Mian Channu bagi menonton siaran langsung acara rejam lembing Sukan Olimpik Paris. - AFP

Awal tahun ini Arshad membuat rayuan di media sosial untuk mendapatkan lembing baharu untuk latihan dan perkara itu meraih perhatian Neeraj Chopra sekali gus membuktikan semangat kesukanan kedua-dua atlet tersebut.

Karier Arshad berkembang dengan ketara sejak kemunculannya di pentas dunia, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk masalah pada siku, lutut dan belakang yang memerlukan pembedahan pada tahun lalu.

Kanak-kanak meraikan kejayaan Arshad Nadeem meraih emas rejam lembing lelaki di kediaman atlet tersebut di Mian Channu. - AFP
Kanak-kanak meraikan kejayaan Arshad Nadeem meraih emas rejam lembing lelaki di kediaman atlet tersebut di Mian Channu. - AFP

Sebelum kemenangan mengagumkan Arshad di Paris 2024, Pakistan tidak pernah menang pingat emas individu pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Semua tiga pingat emas Pakistan sebelum ini hadir dalam sukan hoki lelaki dengan pasukan mereka memenangi emas pada tahun 1960, 1968 dan 1984.

Bapa kepada Arshad Nadeem, Muhammad Ashraf bangga dengan pencapaian anaknya di Olimpik selepas mengalami pelbagai rintangan termasuk kekangan kewangan. - AFP
Bapa kepada Arshad Nadeem, Muhammad Ashraf bangga dengan pencapaian anaknya di Olimpik selepas mengalami pelbagai rintangan termasuk kekangan kewangan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!