'Jadilah pempengaruh media sosial berintegriti'

Pempengaruh kini dijadikan idola, ikutan dan contoh dalam melakukan apa jua perkara.(Gambar kecil: Hamdan Daniel) Gambar hiasan
Pempengaruh kini dijadikan idola, ikutan dan contoh dalam melakukan apa jua perkara.(Gambar kecil: Hamdan Daniel) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang menggunakan populariti untuk melancarkan sebarang tabung kutipan derma atau sumbangan digesa berpegang kepada integriti agar tidak mengkhianati amanah dan kepercayaan diberi orang ramai.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, pempengaruh seharusnya menunjukkan sikap yang baik kepada para pengikutnya.

“Ini kerana ramai yang menjadikan pempengaruh sebagai idola, ikutan dan contoh dalam melakukan apa jua perkara. Jadi setiap apa yang dilakukan pasti akan mendapat sambutan kerana mereka memiliki pengikut tersendiri.

“Dalam konteks sumbangan dan derma, pempengaruh perlu berpegang kepada integriti dan memastikan amanah diberikan orang ramai itu disampaikan dengan sebaik-baiknya mengikut tujuan ia dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh media sosial telah direman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi siasatan berkait dakwaan menyeleweng kutipan derma.

Mengulas lanjut, Hamdan Daniel berkata, mana-mana pempengaruh yang menggunakan populariti untuk membuat kutipan derma atau sumbangan perlu menunjukkan bukti penyerahan wang kepada pihak terlibat.

Jelas beliau, dalam hal itu, mereka perlu berkongsi audit bagi setiap derma bagi memastikan orang ramai jelas bahawa sumbangan itu tidak diseleweng.

“Jangan fikir disebabkan kita ramai peminat dan pengikut, semua aspek berkenaan ketelusan boleh diabaikan, sebaliknya mereka perlu menjaga kepercayaan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak ingatkan, hal duit jangan sesekali dibuat ‘main’. Sampaikan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Jangan jadikan populariti ini sebagai satu tempat untuk meraih keuntungan peribadi,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!