Media rasmi Palestin berduka, wartawan terkorban dalam serangan Israel

Tamim Muammar terbunuh bersama sebahagian besar ahli keluarganya dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Khan Younis. - Foto X
Tamim Muammar terbunuh bersama sebahagian besar ahli keluarganya dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Khan Younis. - Foto X
A
A
A

RAMALLAH - Media rasmi Palestin rasmi pada Jumaat bersedih atas pemergian koresponden Radio Suara Palestin, Tamim Muammar yang terbunuh bersama sebahagian besar ahli keluarganya dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Khan Younes, lapor agensi berita Palestin (WAFA).

Media rasmi Palestin dalam satu kenyataan akhbar berkata sasaran terhadap wartawan Palestin bersama keluarga mereka adalah sebahagian daripada serangan genosid yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza dan berikrar bahawa wartawan serta petugas media Palestin akan terus menyampaikan penderitaan rakyat Palestin di wilayah yang diduduki.

Ia juga menyeru kepada media antarabangsa dan organisasi kemanusiaan untuk tidak sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman secara umum tetapi mengambil tindakan segera untuk menuntut pelaku jenayah perang, Israel dipertanggungjawabkan dan membawanya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Israel meneruskan serangan genosid di Semenanjung Gaza tanpa menghiraukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang telah mengarahkan Israel dalam keputusan mengikat secara undang-undang untuk menghentikan serangan ketenteraannya di Rafah, yang mungkin melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

Israel telah melancarkan serangan yang dahsyat di Gaza sejak 7 Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya 39,699 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, serta mencederakan lebih 91,722 orang.

Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang masih belum dapat dikesan, dipercayai telah meninggal dunia di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Semenanjung Gaza.

Pencerobohan Israel juga telah menyebabkan hampir dua juta orang terpaksa berpindah dari seluruh Semenanjung Gaza, dengan majoriti besar daripada mereka terpaksa menuju ke bandar selatan Rafah yang padat berhampiran sempadan dengan Mesir - yang kini menjadi penghijrahan besar-besaran warga Palestin sejak Nakba 1948. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!