'Singgahlah bermalam di Kedah sebelum masuk Thailand' - Sanusi

Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan TMK 2025 di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhammad Sanusi (tengah) ketika melancarkan TMK 2025 di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 menerusi tema Experience Kedah dengan menyasarkan warga Malaysia yang hendak ke Thailand.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, objektif kerajaan negeri mahu menarik golongan itu agar bermalam di Alor Setar, Sungai Petani atau di mana-mana bandar di Kedah yang diibaratkannya 'lebih selamat dunia dan akhirat'.

Menurutnya, pelancong yang datang ke negeri Jelapang Padi itu boleh melawat madrasah atau pondok-pondok pengajian Islam yang masih banyak ada di Kedah.

“Tarikan itu ditawarkan terutama di Sik, Baling, Yan, Pokok Sena dan Padang Terap dan bukan hanya terdapat di Pattani atau Narathiwat.

“Kita tertanya-tanya juga, mengapa masih tidak ramai orang menjadikan Kedah sebagai destinasi melancong. Mereka hanya lalu dan cop pasport di Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung untuk ke Thailand.

“Banyak kereta dengan nombor plat Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan lalu di Kedah tetapi jarang ada yang singgah bermalam.

“Mereka tidak sabar-sabar hendak bermalam di Hadyai atau Songkhla,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis pelancaran Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Menara Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tema Experience Kedah adalah ajakan atau pelawaan iaitu bermaksud orang Kedah adalah ‘keloi ajak mai’.

Beliau berkata, ia untuk pelancong datang dan merasai sendiri pengalaman berada di Kedah yang sebenar.

“Pengalaman ini tidak akan dapat dinikmati dengan sebarang cara lain selain datang sendiri ke Kedah.

“Kerajaan negeri bersama Kedah Tourism telah menetapkan lima komponen utama yang akan diberi penekanan iaitu sumber alam semulajadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah,” katanya.

Tambahnya, Kedah memiliki potensi yang luar biasa dalam pembangunan pelancongan serantau.

Pelancaran TMK 2025 diserikan dengan persembahan seni mempertahankan diri.Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pelancaran TMK 2025 diserikan dengan persembahan seni mempertahankan diri.Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kedah berada dalam senarai Top 5 dari segi jumlah kehadiran pelancong bagi tahun 2023," katanya.

Jelas beliau, dengan kehadiran 6.45 juta pelancong, Kedah berada di belakang Johor, Selangor, Pahang dan Perak, tetapi di hadapan lapan negeri dan wilayah lain.

“Angka ini dan angka pada tahun-tahun sebelumnya merangsang keyakinan kita bahawa Kedah mampu menarik lebih ramai pelancong pada tahun 2025.

“Memang benar, Langkawi merupakan pintu masuk utama pelancong ke Kedah. Selain Langkawi, kita akan berusaha membawa pelancong ke Tanah Besar Kedah melalui pakej dan kempen yang telah dan akan dirancang.

“Kita yakin Tanah Besar Kedah yang kaya dengan pelbagai produk dan sumberjaya pelancongan itu mampu dipromosi dan dipasarkan sehingga menjadi destinasi pilihan pelancong di rantau ini,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengakui tanggapan dangkal berkenaan imej negeri pertanian menyulitkan Kedah untuk menjadi pilihan pelancong.

Namun di bawah pentadbirannya, beliau menegaskan, imej Jelapang Padi merupakan satu kelebihan dan bukannya kekurangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!