PRK Nenggiri: PN rehatkan ahli dakwa DAP kafir harbi

Annuar (dua dari kanan) hadir bersama kepimpinan PN pada Ceramah Perdana PRK Nenggiri di RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang pada malam Jumaat.
Annuar (dua dari kanan) hadir bersama kepimpinan PN pada Ceramah Perdana PRK Nenggiri di RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang pada malam Jumaat.
A
A
A

GUA MUSANG - Perikatan Nasional (PN) merehatkan seorang ahlinya daripada terlibat dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri selama tiga hari ekoran 'terlepas cakap' dengan mendakwa DAP sebagai kafir harbi pada pentas ceramah parti itu.

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan berkenaan diambil kerana parti berpandangan istilah yang dikeluarkan berkenaan agak kasar.

Katanya, langkah tersebut juga dibuat untuk menyejukkan semula keadaan ekoran kontroversi yang timbul.

"Baru kelmarin (Khamis) kita gantung (rehatkan) seorang juruacara majlis ceramah kita sebab terlepas cakap. Kita suruh rehat supaya (keadaan) sejuk.

"Tapi (pemimpin Barisan Nasional) yang tersasul sebut hidup Israel masih lagi duduk di situ (tak kena tindakan)," katanya.

Annuar
Annuar

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh di sini pada malam Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pemimpin Melayu dalam DAP sebelum ini menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu kafir harbi pada ceramah PRK Nenggiri di Sungai Asap di sini.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menuntut supaya Pas dan PN menyatakan pendirian mereka berhubung istilah tersebut.

Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan turut membidas penggunaan istilah kafir harbi yang dilemparkan sewenang-wenangnya terhadap rakyat yang bukan beragama Islam.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas berakhir ceramah, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menegaskan istilah yang diucap oleh ahli PN itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukanlah pendirian parti.

"Kita berbincang untuk nak mengekalkan kempen beretika kerana kita yakin cara kempen yang baik berkenaan lebih disokong oleh rakyat.

"Walaupun (kejadian yang berlaku itu) kecil sahaja iaitu di akhir majlis ceramah, sebagai juruacara dia ada keluarkan satu istilah yang bersifat peribadi tapi sebab kita dalam musim pilihan raya, kita tak nak ada sebarang sentimen atau kekeruhan.

"Jadi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada saya bahawa ahli itu direhatkan dan ia menjadi peringatan kepada yang lain. Kita akan kekal berkempen dengan cara penuh beretika," ujarnya.

Ditanya mengenai gesaan DAP supaya PN meminta maaf, Annuar berpendirian tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian memandangkan ia perkara subjektif dalam politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!