Larangan ambil, jual kupang di Negeri Sembilan dan Melaka ditarik balik

Sebelum ini DOF mengeluarkan larangan memakan dwicangkerang di Melaka serta-merta sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.
Sebelum ini DOF mengeluarkan larangan memakan dwicangkerang di Melaka serta-merta sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.
A
A
A

TAMPIN - Larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Negeri Sembilan dan Melaka telah ditarik balik serta merta berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia berdasarkan hasil pemantauan rapi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan analisis makmal yang konsisten susulan kes berkenaan.

"Keputusan ini diambil kerana bacaan biotoksin telah menunjukkan penurunan di bawah 400 per-bilion bagi sampel ke-15.

"Dengan ini, aktiviti perikanan di kawasan terjejas boleh diteruskan seperti biasa. Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh dan Demonstrasi Masakan Rasa-rasa Akuakultur di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh,Gemencheh di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan,Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah dilaporkan berkata, hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Arthur (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar program pada Sabtu.
Arthur (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar program pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Arthur berkata, penganjuran program bersama masyarakat itu selain mengangkat tradisi budaya setempat ia juga menjadi platform penting bagi DOF mempromosikan sektor perikanan akuakultur.

"Ia bagi mencapai agenda keterjaminan negara iaitu mewujudkan rantaian nilai yang lebih tangkas dan berdaya tahan dengan aktiviti nilai tambah yang tinggi melalui sistem pengembangan yang mampan.

"Industri akuakultur negara perlu diperkukuh agar lebih berdaya maju dan mampu menampung keperluan sumber protein khususnya daripada industri perikanan air tawar.

"Di Negeri Sembilan, akuakultur merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan negeri iaitu 90.78 peratus atau 5,587.4 tan metrik pengeluaran ikan secara keseluruhan dengan nilai RM73.8 juta bagi tahun 2023," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!