DUN Nenggiri bakal miliki mesin ATM - calon BN

Laporan Sinar Harian pada 5 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 5 Ogos lalu.
A
A
A

GUA MUSANG - Impian penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk memiliki mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bakal menjadi kenyataan apabila ia mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu mengambil maklum rintihan penduduk yang disiarkan menerusi laporan Sinar Harian pada Isnin lalu.

Dalam satu hantaran di TikTok milik nya pada Jumaat, Mohd Azmawi Fikri mengatakan beliau akan segera menunaikan permintaan penduduk dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan.

“Ambo (saya) terbaca satu rintihan daripada orang kawasan Nenggiri yang inginkan mesin ATM.

"Ambo (saya) akan usahakan segera untuk letak ATM di kawasan berkenaan, ambo (saya) akan hubungi bank yang boleh bantu kita bagi menjadikannya realiti,.

"Tiada janji tapi lihat bukti, undi calon nombor dua," katanya dalam hantaran video tersebut sambil memuat naik tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung isu terbabit.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri memerlukan kemudahan ATM dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50 kilometer (km) dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Malah ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit kemudian menaiki kereta api selama sejam semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!