'Tiada masa relaks, lawan sentiasa usaha kalahkan JDT' - Bidoglio
WALAUPUN berpesta gol pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi, pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio tetap mengingatkan anak buahnya untuk kekal fokus bagi menghadapi perlawanan berikutnya menentang Perak FC.
Beliau berkata, setiap pasukan yang didepani JDT sentiasa berusaha keras untuk menewaskan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu, justeru, beliau meminta pemain supaya mengekalkan rentak permainan cemerlang dan sentiasa meningkatkan prestasi masing-masing.
"Kita tidak ada masa untuk relaks, kita perlu kekalkan fokus, dinamik dan terajui perlawanan. Kita berlatih setiap minggu dan fokus kita untuk mempertingkatkan skil individu kerana kita ada beberapa perlawanan akan datang.
"Kita memang kaji dan lihat perlawanan pasukan lawan tetapi semua pasukan yang menentang JDT akan berusaha mengalahkan kita dan akan bermain 'lain' apabila menentang kita.
"Jadi kita ada plan A dan plan B jadi penting untuk kita kekal fokus. Pada kami penting untuk menang," katanya kepada pemberita.
Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, JDT membelasah Kedah 6-0 menerusi Bergson da Silva pada minit kelapan, (35' dan 64’), Feroz Baharuddin (74’), Murilo Henrique (75’) dan Afiq Fazail (79’).
"Mungkin pemain agak hilang fokus jadi di situlah kesilapan dilakukan. Bertemu dengan JDT ini tidak boleh buat kesilapan sebab kalau buat memang kena hukumlah.
"Secara keseluruhan walaupun tiada pemain utama, mereka bermain dengan baik maksudnya ada masanya kita boleh menyaingi JDT cuma kelemahan kita dari segi serangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!