Empat tokan dadah termasuk pasangan kekasih ditahan

Antara barang rampasan yang dilakukan di Senawangdan Gemas pada Jumaat. Gambar kecil: Amiruddien
Antara barang rampasan yang dilakukan di Senawangdan Gemas pada Jumaat. Gambar kecil: Amiruddien
A
A
A

TAMPIN - Polis menahan empat individu termasuk pasangan kekasih disyaki tokan dadah dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Gemas dan Senawang pada Jumaat dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM28,000.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, bertindak atas maklumat lebih kurang jam 9.30 pagi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin telah menahan pasangan kekasih di hadapan sebuah rumah di Gemas.

"Hasil pemeriksaan kenderaan yang digunakan suspek berusia 29 dan 47 tahun itu menemui lapan balutan plastik berwarna hitam dan empat peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 1,040.70 gram.

"Pihak polis juga menemui 19 peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 156 gram dan dua biji pil Erimin 5 anggaran berat 0.60 gram dengan anggaran nilai rampasan bernilai RM14800.10," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, susulan penahanan terbabit pada hari yang sama lebih kurang jam 11.40 pagi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah menahan dua lelaki di hadapan sebuah rumah di Senawang, Seremban.

"Hasil pemeriksaan kenderaan yang digunakan suspek berusia 31 dan 46 tahun itu menemui satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi 24 peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 99.1 gram dan satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi 12 peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 62.2 gram.

"Turut dijumpai satu bungkusan plastik lut sinar berisi campuran dan ceraian tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 20.1 gram dan satu peket plastik berwarna biru berisi 17 biji pil disyaki yaba anggaran berat 3.4 gram dengan anggaran nilai rampasan RM13, 494,"katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Semakan turut mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan pengedaran dan penagihan dadah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!