Tonjol keunikan Perak menerusi MATTA Fair
PENGANJURAN Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak dilihat mampu merancakkan kehadiran pelancong ke negeri ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, penggiat industri pelancongan juga harus merebut peluang untuk menarik pelancong dalam dan luar negara menerusi pakej-pakej menarik yang disediakan.
Menurutnya, ia juga merupakan peluang menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan utama pelancong bersesuaian dengan Tahun Melawat Perak 2024 yang sedang rancak berlangsung ketika ini.
"Melalui MATTA Fair Perak kali ini, fokus utama kita adalah untuk membangunkan lebih lagi produk-produk tarikan pelancongan yang semestinya berbeza daripada destinasi lain.
"Kita akan memberi lebih perhatian kepada inisiatif dan agresif mempromosikan produk pelancongan di negeri Perak untuk menonjolkan lagi keunikannya iaitu dari segi alam semulajadi, makanan, warisan dan budaya masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MATTA Fair Perak ke-33 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Sabtu.
Sze Yee turut berharap agar pengusaha pelancongan terus memperkukuhkan jenama dan promosi yang unik serta sinonim dengan Perak bagi meninggalkan impak berkesan kepada pelancong untuk terus datang ke negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi MATTA Perak, Wendy Shin berkata, pihaknya terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Perak dalam usaha mempromosikan pelancongan negeri.
Menurutnya, sejak Jun hingga Ogos tahun ini seramai 1,000 pelancong dari Kuala Lumpur dibawa menerokai tempat-tempat menarik di sekitar Perak seperti di Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.
Katanya, pelancong-pelancong yang terlibat diberikan pengalaman menerusi penerangan oleh pemandu pelancong mengenai sejarah serta keunikan lokasi-lokasi yang dikunjungi.
Dalam pada itu, Wendy berkata, penganjuran MATTA Fair selama dua hari sehingga Ahad itu juga turut memberi peluang kepada pengunjung menyertai cabutan bertuah apabila membuat pembelian minimum RM100.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!