Olimpik Paris: Michelle Yeoh lakar sejarah sampaikan pingat pemenang
AKTRES Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh melakar sejarah peribadi apabila buat pertama kali diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat Olimpik Paris 2024 kepada pemenang acara terjun 3 meter (m) papan anjal.
Michelle, 61, yang juga pemenang Oscar, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja beliau dengan berkongsi pengalaman tersebut melalui akaun Instagram miliknya.
"Penyampaian pingat Olimpik pertama saya kepada salah satu sukan kegemaran saya!! Hebat!! Tahniah kepada China dan Australia! Sangat layak," tulisnya.
Majlis penyampaian pingat itu menjadi lebih istimewa bagi Michelle, yang telah lama menjadi penyokong aktif dalam sukan dan seni, dan kini turut memberi penghargaan kepada atlet-atlet bertaraf dunia.
Penerjun China, Chen Yiwen mengungguli saingan tersebut dengan mengumpulkan sejumlah 376.00 mata, sekali gus melayaknya untuk menyarung pingat emas.
Sementara pingat perak dan gangsa pula menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney dengan mata pungutan 343.10 dan atlet China, Chang Yani, 318.75 mata.
Bagaimanapun, impian Malaysia untuk meraih pingat tidak kesampaian apabila atlet negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya meraih kedudukan podium dalam aksi final acara tersebut.
Dhabitah yang bersaing dengan 11 penerjun lain menamatkan saingan di tempat ke-12 pada aksi akhir di Pusat Akuatik Saint-Dennis, Paris, pada Jumaat, dengan kutipan sebanyak 244.80 mata. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!