Premis pemborong minyak jual diesel kepada kenderaan asing diserbu

Pegawai KPDN melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan asing yang dipercayai melakukan pengisian diesel dalam Ops Tiris 3.0 dekat Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis diserbu pada Rabu.
Pegawai KPDN melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan asing yang dipercayai melakukan pengisian diesel dalam Ops Tiris 3.0 dekat Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis diserbu pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemborong minyak dipercayai menjual diesel kepada kenderaan asing mengundang padah setelah premis syarikat yang terletak dekat Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis diserbu pada Rabu.

Operasi terbabit dijalankan kira-kira jam 10 pagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 3.0.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN), Datuk Azman Adam berkata, operasi dilaksanakan susulan hasil laporan naziran terhadap syarikat terbabit dan risikan yang dilakukan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mengesahkan premis terbabit menjalankan perniagaan menjual minyak diesel untuk kegunaan industri.

"Bagaimanapun, berdasarkan laporan naziran dibuat, premis terbabit didapati menjual minyak diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua buah kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai serta bernombor pendaftaran asing sedang mengisi minyak diesel di dalam premis itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu membuat pengisian diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 72 liter.

"Dua buah kenderaan pacuan empat roda, minyak diesel, telefon bimbit dan beberapa dokumen berkaitan telah disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM84,150.

Artikel Berkaitan:

"Empat individu terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing berumur 40 hingga 70 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.

"Selain itu, premis terbabit juga telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974.

"Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613]," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!