'Muka anak saya hancur, ada kesan hentakan objek tumpul' - Bapa

Keadaan rumah yang terbakar mengorbankan tiga nyawa di Pagoh pada awal pagi Jumaat.
Keadaan rumah yang terbakar mengorbankan tiga nyawa di Pagoh pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Hati bapa mana yang tidak sedih melihat muka jenazah anak yang disayangi hancur dipercayai dengan kesan kecederaan akibat dihentak objek tumpul.

Itu yang dilalui Nor Hasyim Tahir , 43, ketika proses menuntut jenazah anaknya, Noradriana Nor Hasyim, 11, di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF) di sini, pada pagi Sabtu.

"Apa yang boleh saya katakan, anak saya meninggal disebabkan kesan ketukan di kepala, keadaan muka dia hancur sebab bekas ketukan benda tumpul.

"Kita juga masih tak tahu punca sebenar, kesan kebakaran dekat dia tak teruk sangat," katanya ketika ditemui selepas pengkebumian arwah anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, pada pagi Sabtu.

Nor Hisyam turut memaklumkan, jenazah ibu dan bapa mentuanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abdul Hamid, 76, masih belum dikebumikan kerana perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Difahamkan keadaan mayat kedua-dua orang tuanya itu rentung 80 peratus dan menyukarkan pihak hospital untuk memastikan mayat mangsa.

"Berdasarkan maklumat daripada pihak hospital paling lewat pun selama tujuh hari untuk menentukan DNA tersebut.

"Ahli keluarga akan diambil darah untuk melalui proses padanan DNA pada hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, anak tirinya yang terselamat iaitu Norazima Mohd Radhi, 14, masih dirawat dan berada di wad perubatan, Hospital Pakar Sultanah Nora, Muar.

Namun katanya, tiada sesiapa termasuk ahli keluarga dibenarkan melawat Norazima berikutan keadaannya yang masih trauma.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi Jumaat selain Noradriana, ibu bapa mentua, Mohamed Nor Mohamed Yasin, 82 dan Ara Abdul Hamid, 76, turut maut dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 85 peratus rumah separuh kayu.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, seorang anak pasangan warga emas terbabit, iaitu Azman Mohamed, 48, menghilangkan diri dan polis giat mengesannya.

Sementara itu, menurut jiran mangsa yang dikenali Rozana memberitahu ketika kejadian, anak tiri Nor Hasyim, Norazima Mohd Radhi, 14, yang turut menjadi mangsa sempat menyelamatkan diri.

"Ketika itu saya membantu penduduk kampung dan pasukan bomba untuk mencari punca air berdekatan, namun tiba-tiba saya dipeluk Norazima dalam keadaan menangis.

"Saya bawa balik rumah dia beritahu dia dipukul bapa saudaranya. Dia tak cakap banyak macam dalam keadaan terkejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!