Akta kesalahan buang sampah akan dipinda - KPKT

Kor Ming (kiri), Laporan muka depan Sinar Harian
Kor Ming (kiri), Laporan muka depan Sinar Harian
A
A
A

KAMPAR - Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] bagi kesalahan membuang sampah akan dipinda agar tindakan lebih tegas dan memberi pengajaran dapat dikenakan ke atas pelaku.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan pindaan itu dikemukakan selepas mendapati masalah pembuangan sampah termasuk putung rokok di kawasan pantai semakin menjadi-jadi seolah-olah tiada kesudahan.

Menurutnya, undang-undang sedia ada sebelum ini antaranya mengenakan kompaun sehingga RM1,000 sudah tidak memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat.

"Kita sekarang tidak bercadang untuk naikkan lagi kadar kompaun kerana jumlah sedia ada itu pun orang sudah tidak kisah. Jadi cadangan pindaan akta ini perkara yang perlu kita kaji semula.

"KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) menerusi pegawai undang-undang sedang dalam kajian akan perkara ini untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lakukan pindaan akta," katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Daerah Kampar dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian berhubung isu pencemaran putung rokok di kawasan pantai tumpuan pelancong di negara ini.

Laporan mendedahkan, sekurang-kurangnya 5,000 puntung rokok boleh dikumpul dengan mudah di pantai dalam tempoh satu jam sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan sampah beracun itu kepada alam sekitar.

Kor Ming (kanan) menyantuni peniaga Pasar Awam Mambang Diawan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Daerah Kampar pada Sabtu.
Kor Ming (kanan) menyantuni peniaga Pasar Awam Mambang Diawan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Daerah Kampar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, antara yang dicadangkan dalam pindaan itu adalah dengan mengenakan hukuman tambahan khidmat masyarakat kepada pelaku.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan satu bentuk pendidikan berkesan dan telah dipraktikkan di beberapa negara maju untuk membina rasa kesedaran dan pengajaran.

"Saya lihat di beberapa negara maju, apabila ada kesalahan seperti ini, mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat dengan menyapu dan mengutip sampah di bawah matahari terik.

"Saya percaya jika kita dapat laksanakan, selepas beberapa kes nanti, tidak ada lagi yang berani untuk teruskan tabiat membuang sampah.

"Negara sekarang sudah pun merdeka 67 tahun, sikap ulat-ulat sampah yang suka buang sampah merata tempat seperti yang berlaku sekarang perlu dihentikan, cukuplah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!