Gas ammonia bocor: Tiga pekerja lelaki terselamat
SEREMBAN - Tiga pekerja lelaki terselamat selepas satu tong berisi gas ammonia bocor dalam kejadian di Jalan Stesen Kuala Sawah, Kampung Saga, Rantau dekat sini pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Mohd Syazwan Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 11.38 pagi membabitkan tiga mangsa berusia 27, 44, dan 54 tahun yang merupakan pemandu lori dan dua kelindan.
"Ketika kejadian pemandu lori 5 tan berkenaan membawa muatan 10 tong gas ammonia dari Tangga Batu, Melaka ke Kuala Sawah di sini.
"Semasa membuat penurunan tabung tong tersebut didapati dua tong tergelincir dan jatuh mengakibatkan satu daripada 'valve' tong terbabit tercabut serta mengakibatkan kebocoran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa membuat tindakan awal dengan menyiram tong terbabit dan pada masa sama mereka menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi meminta bantuan pihak bomba dan penyelamat.
"Tindakan Pasukan Bomba Rantau membuat semburan di tempat kejadian, serta membuat pengungsian bangunan kepada pekerja premis tersebut dan menghubungi Bantuan Unit Khas Hazmat dari BBP Seremban 2.
"Unit Khas Hazmat, mengenal pasti bahan kebocoran kepada tong Gas tersebut dan mengambil bacaan udara persekitaran selain membuat kerja-kerja 'plugging' kepada kebocoran tong tersebut.
"Setelah selesai kerja-kerja nyah cemar, Unit Khas Hazmat sekali lagi membuat bacaan udara persekitaran agar memastikan keadaan dalam keadaan baik. Operasi tamat pada jam 1.42 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!