UMNO Kota Raja sasar bertanding di DUN Sungai Kandis - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (kiri) melihat pelan perancangan pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad pada Sabtu.
Tengku Zafrul (kiri) melihat pelan perancangan pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - UMNO Bahagian Kota Raja menyasarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berbanding dua lagi kerusi DUN di Parlimen itu sekiranya berpeluang bertanding pada pilihan raya akan datang.

Ketuanya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, UMNO berharap kerusi itu ditandingi calon parti itu berikutan terdapat majoriti pengundi Melayu di DUN berkenaan.

"Penyandang bagi kerusi (DUN Sungai Kandis) ini pula bukan PH (Pakatan Harapan) pada pilihan raya lalu dan kita harap salah satu daripada tiga DUN ini ditandingi calon UMNO," katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Kampung Angkat Madani di Masjid Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam dekat sini pada Sabtu.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberitahu, perkara itu juga telah disuarakan semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Ogos lalu

"Saya yakin Presiden (Ahmad Zahid) akan menyuarakan perkara ini dan melakukan perbincangan bersama rakan PH.

"Bahagian Kota Raja ada empat kerusi termasuk Parlimen dan atas semangat perpaduan kita minta satu kerusi daripada PH," ujarnya.

Tambahnya, UMNO turut berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang sedia mempertimbangkan cadangan berkenaan.

"Walaupun PRU (Pilihan Raya Umum) dan PRN (Pilihan Raya Negeri) masih jauh tetapi saya percaya persediaan awal perlu dibuat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO turut menyatakan komitmen untuk terus membantu calon PH sekiranya parti itu tidak terpilih bertanding bagi menghormati parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Sekiranya UMNO bertanding, maka kita serahkan kepada pucuk pimpinan menentukan siapa yang layak," jelasnya.

Sinar Harian pada 4 Ogos lalu melaporkan, UMNO Bahagian Kota Raja meminta agar parti itu diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Salah satu kerusi yang diminta itu sama ada DUN Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning atau Parlimen Kota Raja.

Ahmad Zahid dalam kenyataannya sebelum ini menyokong cadangan supaya parti berkenaan diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di Bahagian Kota Raja pada pilihan raya akan datang.

Ahmad Zahid berkata, cadangan Tengku Zafrul itu sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!