Melaka bakal beri insentif khas kepada Aaron Chia

Aaron-Wooi Yik menunjukkan pingat gangsa pada majlis penyampaian pingat dalam acara badminton Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle.
Aaron-Wooi Yik menunjukkan pingat gangsa pada majlis penyampaian pingat dalam acara badminton Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle.
A
A
A

PEMAIN badminton beregu negara, Aaron Chia bakal menerima insentif khas daripada kerajaan negeri Melaka atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.

Exco Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, pemberian itu sebagai penghargaan atas pencapaian atlet berasal dari Batu Berendam itu pada temasya paling berprestij di dunia.

“Saya mewakili kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan pasangan beregu negara ini yang telah mengharumkan nama negara dan Melaka.

“Semua anak Melaka yang berjaya dalam sukan akan diiktiraf kerajaan negeri menerusi sumbangan atau anugerah khas berupa wang tunai atau hadiah tertentu,” katanya kepada pemberita di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Melaka dan turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd Khairol Kamis.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata, atlet yang berjaya dalam kejohanan sukan juga akan menerima jumlah setimpal mengikut skala ditetapkan sama ada di peringkat dunia, Asia, serantau atau di peringkat Sukan Malaysia (Sukma).

Katanya pemberian insentif khas buat Aaron itu akan diselaraskan bersama penyerahan imbuhan kepada pemenang pingat di Sukma Sarawak 2024.

Beregu lelaki utama negara Aaron- Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam perlawanan penentuan gangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!