KSN penting sebagai penghubung, kata Tun M

Tun Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Persaraan Tan Sri Dr Ismail Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara dalam satu majlis hari ini. - Foto Bernama
Tun Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Persaraan Tan Sri Dr Ismail Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara dalam satu majlis hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peranan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai penghubung antara anggota pentadbiran dan penjawat awam adalah penting supaya keputusan dan dasar kerajaan difahami dan dapat diterima, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, KSN merupakan institusi terpenting dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan yang memainkan peranan menyampaikan dengan kefahaman perkara yang diputuskan jemaah menteri supaya keputusan dan dasar kerajaan difahami dan dapat diterima serta diterjemahkan oleh penjawat awam.

Katanya, hubungan itu perlu difahami dan dihayati kerana anggota pentadbiran perlu sedar bahawa sebaik mana dasar yang diperkenalkan, jika tidak dilaksana dengan baik oleh penjawat awam, hasilnya boleh membawa kepada kerosakan dan kemunduran.

"Di pihak penjawat awam pula, perlu ada kesedaran bahawa melaksanakan dasar dan memastikan ia tercapai dengan baik dan jaya adalah satu amanah dan jika tergelincir dari tujuan, objektif tidak tercapai dan yang akan menderita akibatnya ialah rakyat, dan rakyat ini termasuk diri kita sendiri," katanya semasa berucap pada majlis penghargaan bekas KSN, Tan Sri Dr Ismail Bakar di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri Kabinet, KSN, Datuk Seri Mohd Zuki Ali serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, program Pemukiman Ahli-ahli Jemaah Menteri telah diadakan baru-baru ini untuk bertukar-tukar pandangan, pendirian serta jangkaan atau harapan bagaimana peranan masing-masing harus dimainkan, sama ada oleh anggota pentadbiran mahupun warga perkhidmatan awam.

"Saya percaya ia akan menjadi titik tolak ke arah kerjasama yang lebih erat dan berkesan di dalam pengurusan negara terutamanya untuk menjayakan dasar-dasar utama termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

Menurut Dr Mahathir, sinergi antara anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam yang diterajui ketua setiausaha, ketua perkhidmatan dan ketua jabatan dapat mengukuhkan perjalanan dan masa hadapan negara.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Ismail, Dr Mahathir berkata, beliau dianggap sebagai sebahagian daripada pasukan peralihan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mula memegang tampuk pemerintahan negara sejak 10 Mei 2018.

"Menguruskan perubahan adalah sesuatu yang saya kira sukar dan mencabar. Tanggungjawab ini telah diberi kepada Ismail untuk memimpin 1.6 juta penjawat awam untuk menghayati perubahan tersebut dan seterusnya bersama-sama melaksanakan dasar-dasar yang diperkenalkan," katanya.

Ismail yang bersara wajib sebagai KSN digantikan oleh Mohd Zuki, 58, berkuat kuasa 1 Januari 2020. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!