Bina kilang: MITI, Tesla adakan pertemuan 22 Ogos ini

Laporan Sinar Harian. Tengku Zafrul (kanan).
Laporan Sinar Harian. Tengku Zafrul (kanan).
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Tesla Inc. (Tesla) dijadualkan mengadakan pertemuan khas pada 22 Ogos ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjumpaan di Ibu Pejabat MITI itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung dakwaan pembatalan perancangan membangunkan kilang di Asia Tenggara termasuk di negara ini.

Menurut beliau, pertemuan itu dianggap penting bagi membolehkan pihaknya mendapat pengesahan daripada Tesla yang belum membuat kenyataan rasmi setakat ini.

"Maklumat atau dakwaan mengenai pembatalan kilang, kita hanya dengar daripada pihak ketiga bukannya daripada Tesla.

"Kami akan menemui pihak pengurusan atasan Tesla dari Amerika Syarikat dalam dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pada Majlis Pecah Tanah Kampung Angkat Madani dan Mini MITIDAY di Masjid Kampung Tebuk Mufrad, di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, sebarang kenyataan rasmi mengenai hasil pertemuan itu akan dikeluarkan kementeriannya selepas mendapat persetujuan Tesla kerana ia melibatkan isu dalaman syarikat tersebut.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, pembatalan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan Malaysia sebagai salah satu hab EV di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"Tesla sebelum ini juga tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang mereka di Malaysia," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Tesla tidak akan membina kemudahan pembuatan kenderaan elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

Memetik laporan akhbar Thailand, The Nation, pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kegagalan Tesla dalam bersaing dengan kenderaan EV keluaran syarikat dari China menyebabkan pembatalan rancangan mengembangkan operasi pengeluarannya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!