'Kemenangan di PRK DUN Nenggiri jadi medan tebus maruah'

Ahmad Zahid ketika berucap sempena perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika berucap sempena perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini akan menjadi medan tebus maruah parti itu selepas tewas tipis di tangan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan tersebut dapat memberikan manifestasi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 21 hingga 24 Ogos ini.

"Saya tahu Sabtu depan ada PRK di Nenggiri dan Jelai di sini adalah pertengahan jalan antara Kuala Lumpur dan Nenggiri, Gua Musang.

"Kerana hari Sabtu, ramai pemimpin UMNO bahagian dan cawangan mahu bantu kemenangan di Nenggiri sebab kekalahan kita dalam PRN lalu cuma 810 undi.

"Ketika itu, Datuk Ramli Mohd Nor (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) tahu ramai dalam pengundi Orang Asli (OA) tidak keluar. Ada sebab tertentu. Ramai pengundi yang berada dalam Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) pun tidak keluar dan sembilan PDM (pusat daerah mengundi) kampung tradisional, satu rancangan Felda pun ada masalah.. Tapi kali ini, Alhamdulillah," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan di sini pada Sabtu.

Ujarnya, di Nenggiri terdapat 20 PDM yang membabitkan sembilan kampung tradisional, lima penempatan OA dan Kesedar serta satu rancangan Felda.

Jelasnya, secara kebetulan kawasan berkenaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang mendapat banyak faedah daripada pelaksanaan pembangunan oleh agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Semua 20 PDM bawah saya..tolong saya tebus maruah di Nenggiri pada 17 Ogos sekali gus memberi manifestasi yang signifikan pada PAU nanti," tambahnya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail.

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas keahlian bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!