KDA FC bakal bawa masuk import baharu?
SKUAD Kedah Darul Aman (KDA) FC berkemungkinan membawa masuk beberapa pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua musim ini dalam usaha melonjakkan semula prestasi pasukan.
Bagaimanapun menurut pengendali skuad Hijau Kuning itu, Nafuzi Zain berkata, perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan dan setakat ini masih belum ada sebarang perkara yang dimuktamadkan.
“Soal perubahan (pemain baharu) tu kita kena bincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.
“Tetapi, sebagai ketua jurulatih, saya mempunyai perancangan tersendiri untuk menambah baik pasukan sedia ada ini.
“Apa-apa pun, kita perlu bangkit semula pada perlawanan-perlawanan seterusnya dengan mengutip tiga mata agar kita tidak terus ketinggalan dalam saingan Liga Super kali ini,” katanya.
Mengulas kekalahan tersebut, Nafuzi berkata, kealpaan benteng pertahanan yang hilang tumpuan menjadi antara punca kepada kekalahan 0-6 skuad Kenari pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Begitupun katanya, kekalahan itu tidak memberikan gambaran sebenar mengenai persembahan skuad Kenari tambahan pula beberapa pemain utama seperti Sony Norde, Faiz Nasir dan Sukhrob Nurullaev tidak beraksi.
“Dari segi keputusan, saya berasa agak agak kecewa kerana ia tidak menggambarkan persembahan sebenar malam ini, tetapi walaupun tanpa beberapa pemain utama, bagi saya, kita sudah bermain dengan baik di awal permainan.
“Pada babak kedua, kita masih bermain dengan baik apabila mampu mengatur gerakan dari bawah, cuma bila sampai di bahagia atas sahaja kita banyak hilang bola dan pihak lawan ambil peluang melakukan serangan balas.
“Kesilapan yang kita lakukan ialah melepaskan gol yang sangat mudah, selepas ketinggalan 0-3, pemain mula hilang fokus dan mula melakukan kesilapan...kita perlu sedar apabila bertemu dengan JDT, kita tak boleh buat kesilapan jika tidak kita pasti akan dihukum,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!