'Gaya Yusuf Dikec' kini jadi trend kemenangan atlet di Sukan Olimpik

Atlet lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis (kiri) meraikan kejayaannya dengan melakukan 'gaya Yusuf Dikec' (kanan) selepas mencipta rekod Olimpik baharu dengan lompatan setinggi 6.25 meter di Stade de France.
Atlet lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis (kiri) meraikan kejayaannya dengan melakukan 'gaya Yusuf Dikec' (kanan) selepas mencipta rekod Olimpik baharu dengan lompatan setinggi 6.25 meter di Stade de France.
A
A
A

'GAYA Yusuf Dikec, kini menjadi trend terbaharu dalam kalangan atlet di Sukan Olimpik Paris 2024, lapor Agensi Anadolu.

Yusuf Dikec, penembak dari Turkiye mencuri tumpuan dunia dengan gaya uniknya yang tenang, dengan memasukkan sebelah tangan ke dalam poket dan tidak mengenakan sebarang kelengkapan khas.

Gayanya yang santai tular di media sosial, kemudian menjadi trend popular dalam kalangan atlet.

Dikec bersama rakan sepasukannya, Sevval Ilayda Tarhan memenangi pingat perak dalam acara 10 meter pistol angin campuran di Sukan Paris pada Selasa lalu, selepas tewas tipis kepada Serbia dengan keputusan 16-14.

Atlet lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis meraikan kejayaannya dengan melakukan 'gaya Yusuf Dikec' selepas mencipta rekod Olimpik baharu dengan lompatan setinggi 6.25 meter di Stade de France, sekali gus mengatasi rekod dunia miliknya sendiri iaitu 6.24 meter yang dicatatkan di China.

Pemenang pingat emas lompat bergalah wanita dari Australia, Nina Kennedy juga tidak ketinggalan melakukan gaya popular Dikec selepas kemenangannya.

Trend kemenangan ini turut menarik perhatian atlet lain seperti Roje Stona dari Jamaica, yang memecah rekod Olimpik dalam acara lempar cakera dengan jarak 70 meter.

'Gaya Yusuf Dikec' juga mula kelihatan di padang bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Pemain Fenerbahçe, Irfan Can Kahveci, meraikan gol hasil sepakan percuma pada minit ke-80 dalam perlawanan menentang Lille di pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara UEFA dengan melakukan gaya itu bersama rakan sepasukan.

Cyriel Dessers, penyerang Rangers dari Scotland juga melakukan 'gaya Yusuf Dikec' untuk meraikan golnya pada masa tambahan dalam perlawanan seri 1-1 menentang Dynamo Kyiv di pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara UEFA.

Sementara itu, pemain Ajax dari Belanda, Steven Berghuis turut mempamerkan kegembiraannya dengan melakukan 'gaya Yusuf Dikec' selepas menjaringkan gol pada minit ke-28 dalam perlawanan menentang Panathinaikos dari Greece di pusingan kelayakan Liga Europa UEFA. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!