KPKT lulus RM7 juta laksana 11 projek di Kampar
KAMPAR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM7 juta bagi pelaksanaan 11 projek pembangunan dan infrastruktur awam di daerah Kampar.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu melibatkan program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) berjumlah RM210,000, projek pembangunan di Majlis Daerah Kampar (RM3.06 juta) dan pembangunan landskap (RM500,000).
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM120,000 disalurkan bagi program baik pulih rumah, projek kemajuan Kampung Baru (RM1.3 juta), rumah mesra rakyat (RM1.2 juta) dan projek penyelenggaraan tiga rumah ibadat bukan Islam (RM329,700).
"Setiap peruntukan yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) ini adalah berdasarkan kepada Analisis Kos-Faedah Kewangan (CBA).
"Ini bagi memastikan peruntukan yang disalurkan itu benar-benar dapat membawa kepada manfaat yang mampu dirasai segenap lapisan rakyat.
"Perkara ini penting untuk mengelakkan mana-mana projek dirancang menjadi projek gajah putih seperti mana berlaku kepada pentadbiran terdahulu," katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di daerah Kampar di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Dalam program itu, Kor Ming meninjau projek naik taraf Pasar Awam Kampar dan Pasar Awam Mambang Diawan serta projek pembangunan landskap persekitaran kehidupan di sepanjang Jalan Jalinan Hijau antara Jalan Angkasa dan Jalan Damai Bandar Kampar.
Turut diadakan lawatan ke projek naik taraf Dewan Orang Ramai di Kampung Baru Wah Loong dan penyerahan peruntukan insentif penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam di Gurdwara Sahib Kampar.
Kor Ming berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan semua projek berkenaan yang antara lain dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat melalui penyediaan perkhidmatan terbaik.
"Tadi saya melihat tandas di Pasar Awam Kampar, memang walaupun belum sampai tahap BMW (bersih, menawan, wangi), tetapi memang bersih.
"Syabas kepada Majlis Daerah Kampar. Cuma saya nak pesan, bila masuk tandas yang selesa seperti itu, jangan curi sabun dan bawa balik pasu bunga kerana itu bukan harta peribadi. Saya terima aduan sabun hilang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!