UMNO ‘lebih selamat’ bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan
ALOR SETAR - UMNO dilihat lebih selamat untuk terus menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan berbanding memilih untuk keluar daripada pakatan tersebut.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, sekiranya UMNO memilih untuk menyertai blok pembangkang bawah Perikatan Nasional (PN), parti itu harus bersaing dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat lebih dominan ketika ini.
Menurutnya, gesaan sebahagian akar umbi agar UMNO tidak lagi menjalin kerjasama dengan DAP pada masa akan datang harus diperhalusi sebaiknya berdasarkan percaturan politik, bukannya emosi.
“Masa depan UMNO bukan bergantung kepada emosi. Hidup UMNO itu berdasarkan kepada bidak-bidak catur. Perlukah UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan?
“Pada ketika ini UMNO berada dalam kerajaan, masih mempunyai suara, adakah akar umbi mahu suara UMNO itu mati?
“Adakah dengan keluar daripada Kerajaan Perpaduan menyebabkan mereka lebih kuat atau menjadi lebih lemah,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai usul dari UMNO bahagian di beberapa negeri yang mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan PH terutama DAP kerana dilihat merugikan UMNO dan orang Melayu.
Isu ini dipercayai akan turut dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 bermula dari 21 hingga 24 Ogos ini.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berkata, UMNO harus menimbang tara pelbagai aspek termasuk kemungkinan yang akan berlaku.
“Jika kekal dalam kerajaan, UMNO mendapat segala-galanya dan masih boleh bersuara, jika bersama pembangkang mereka mungkin tercicir dalam saf pembangkang itu sendiri.
“Permainan UMNO ini harus difikirkan sebaik-baiknya. Bukan mengikut telunjuk akar umbi yang penuh emosi atau mengikut perasaan. Perkara ini harus dilihat secara holistik,” ujarnya.
Menurutnya, jalan terbaik untuk UMNO pada ketika ini adalah terus bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kelangsungan parti, yang baharu mengalami proses pemulihan dan kebangkitan.
“Sekiranya UMNO mahu pergi lebih jauh, hanya ada satu jalan (ketika ini) kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sekurang-kurangnya ketika ini UMNO diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Adakah jika mereka dalam saf PN, mereka akan dapat layanan sama.
“Jika UMNO berada dalam blok pembangkang, adakah PN akan melantik salah seorang ahli UMNO sebagai Ketua Pembangkang. Sudikah PN beri ruang kepada UMNO sedangkan Bersatu dominan dalam PN,” jelasnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, UMNO berdepan risiko kehilangan jawatan penting dalam kerajaan sekiranya memutuskan hubungan dengan PH.
“Mahukah PN melantik Presiden UMNO sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau sesiapa saja yang menjadi Presiden sebagai Perdana Menteri.
“Atau UMNO sekadar pembonceng sahaja dalam PN. Ini yang mungkin akar umbi tidak nampak kesannya, mereka hanya nampak UMNO perlu keluar dari Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, UMNO harus memikirkan secara mendalam kesan dan akibatnya, selain perlu memiliki perancangan masa depan parti yang jitu.
“Kalau ditakdirkan UMNO keluar, parti dari Sabah dan Sarawak juga keluar. Ia akan mengakibatkan kerajaan berdepan situasi seperti selepas PRU15.
“Kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Apakah baginda akan setuju dengan keadaan itu atau putuskan pilihan raya diadakan untuk selesaikan kemelut.
“Bersediakah UMNO untuk harungi sekali lagi PRU?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pengagihan kerusi bertanding antara UMNO dan Bersatu kelak akan menyukarkan kerjasama baharu itu dalam PRU16.
“Bersatu pastinya ingin mendominasi UMNO. Sebelum ini, Bersatu bertanding di kawasan UMNO. Kalau UMNO bersama PN, di manakah kerusi yang mereka boleh bertanding?
“Sebelum ini UMNO bertanding lebih seratus kerusi, adakah akan diberi peluang sebanyak itu?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!