Orang Asli perlu beri undi sama rata kepada PN, BN - Hamzah

Hamzah menyantuni dan bergambar bersama komuniti Orang Asli ketika berkunjung ke Kampung Langsat, Kuala Betis, Gua Musang pada Sabtu. Gambar kecil: HAMZAH
Hamzah menyantuni dan bergambar bersama komuniti Orang Asli ketika berkunjung ke Kampung Langsat, Kuala Betis, Gua Musang pada Sabtu. Gambar kecil: HAMZAH
A
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli perlu memberi undi sama rata kepada calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia sebagai satu strategi untuk memberi isyarat kepada PN yang menggunakan logo Pas dan BN supaya tidak mempermainkan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, sekiranya hanya satu parti sahaja menguasai undi Orang Asli sepertimana sebelum ini ia menyebabkan mereka yang menang dikhuatiri tidak melaksanakan janji.

“Kita kena ada strategi contohnya separuh (beri undi kepada) BN dan separuh kepada PN-Pas untuk menunjukkan bahawa Orang Asli tidak mahu peranan mereka diperkotak-katikkan.

"Jadi orang PN-Pas kena sedar, orang BN pun perlu sedar. Itu yang patut mereka lakukan. Kalau selama ini dia (Orang Asli) tunjuk itu (sokong sebelah pihak) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis dekat sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hamzah menjelaskan, sokongan kepada parti sama sebagaimana sebelum ini menyebabkan Orang Asli tidak menikmati apa yang telah dijanjikan kepada mereka.

“Sebagai contoh Perdana Menteri ada menyatakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mesti direformasikan, (namun) sekarang ini apa dah jadi?

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan bahawa mereka (pemimpin cuma) cakap semata-mata tetapi tidak menunaikan janji. Perkara ini sepatutnya diambil kira oleh Orang Asli, mereka kena buktikan bahawa mereka tahu, sedar dan mahu suara mereka tonjolkan dalam PRK Nenggiri,” ujarnya.

Hamzah menjelaskan, PRK DUN Nenggiri juga mesti menjadi medan untuk membawa suara rakyat serta menyatakan kesengsaraan yang dihadapi mereka ketika ini.

"Bila masuk kampung Orang Asli ia memberi sesuatu yang terbuka pada diri saya bahawa masyarakat Orang Asli juga melihat Nenggiri ini sebagai alat menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memberitahu, kerajaan negeri prihatin dengan kebajikan Orang Asli dan akan memberi fokus kepada isu pembalakan yang mengancam masyarakat Orang Asli selain isu prasarana.

"Saya hairan kawasan ini dikuasai BN namun infrastruktur tidak dijaga. Seperti disebutkan Hamzah, Orang Asli tidak mahu dipermainkan," dakwanya.

PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan PN yang diwakili Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail.

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas keahlian bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!