Syarikat disaran manfaatkan tempoh percubaan MyInvois

Hui Ying semasa menyampaikan ucapan pada Penutup Jelajah Madani Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel dekat Banda Hilir, pada Sabtu. Foto Bernama
Hui Ying semasa menyampaikan ucapan pada Penutup Jelajah Madani Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel dekat Banda Hilir, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 1,500 syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta yang belum menghantar invois melalui sistem MyInvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa segera berbuat demikian sebelum pelaksanaan sepenuhnya mulai Januari 2025.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, mereka disaran menggunakan sepenuhnya sistem itu sepanjang tempoh percubaan selama enam bulan untuk membiasakan diri dengan sistem berkenaan.

Syarikat ini adalah antara 5,000 syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta, yang terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan sistem ini secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024.

Menurut Hui Ying, setakat ini LHDN menerima maklum balas positif daripada 3,500 syarikat yang mengemukakan 3.5 juta invois menerusi MyInvois, daripada keseluruhan 5,000 syarikat.

"Ini menunjukkan tahap pematuhan dan kerjasama yang sangat baik daripada industri dan berharap semua syarikat melakukannya dalam tempoh masa ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Jelajah Madani mengenai e-Invois, Budi Madani dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, langkah berperingkat penggunaan sistem MyInvois adalah penting dalam usaha kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai di Malaysia.

"Jika mempunyai masalah teknikal atau sebarang pertanyaan, syarikat mempunyai masa untuk mengatasinya dengan menghubungi LHDN yang mempunyai pasukan bersedia membantu atau mengendalikan apa-apa aduan dan masalah dihadapi," katanya.

Fasa kedua akan bermula pada 1 Januari 2025 merangkumi syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM100 juta dan seterusnya semua pembayar cukai pada 1 Julai 2025.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan MyInvois akan menggunakan dua mekanisme penghantaran e-invois iaitu Portal MyInvois dan Application Programming Interface (API) untuk kemudahan pengguna. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!