Dua mayat mangsa bot dilanggar ditemui terapung di Bohey Dulang

Mayat mangsa ditemui terapung di perairan Pulau Bohey Dulang, Semporna.
Mayat mangsa ditemui terapung di perairan Pulau Bohey Dulang, Semporna.
A
A
A
SEMPORNA - Mayat dua penumpang yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar sebuah bot lain akhirnya ditemui di perairan Pulau Bohey Dulang dekat sini pada Sabtu.

Mayat dipercayai Rommek Tura dan Jimal ditemui terapung oleh pasukan polis komando VAT69 pada jam 11.45 pagi sebelum laporan dibuat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Fauzi Abd Kadir berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.15 petang berhubung penemuan mayat mangsa.

"Penemuan mayat tersebut melibatkan mangsa yang dilaporkan hilang semasa kejadian pelanggaran bot yang berlaku di perairan Pulau Sibangkat Selasa lalu.

"Mayat ditemui terapung oleh pasukan komando VAT69 yang sedang menjalankan rondaan di perairan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan penemuan itu, Fauzi berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati, kedua-duanya adalah lelaki dan berusia lingkungan 20-an dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan dua penumpang dikhuatiri lemas manakala seorang parah dan seorang lagi selamat selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain di perairan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Selasa, mangsa yang hilang dikenali sebagai Rommek Tura, dan Jimal manakala dua yang terselamat dikenali sebagai Bocoi dan Reymar yang mengalami cedera parah.
Artikel Berkaitan:


Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!