Tun M bukan dijatuhkan, tak pernah sebut haramkan UMNO - Tun Faisal
SHAH ALAM - Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau dalang menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak benar.
Sebaliknya, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan bahawa Dr Mahathir atau bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.
“Tun M tak pernah sebut dia nak haramkan UMNO melainkan meminta Ahmad Zahid membubarkan UMNO.
“Ada perbezaan antara keduanya, yang pertama adalah tindakan paksaan oleh Tun M, yang kedua adalah cadangan untuk dipertimbangkan oleh Ahmad Zahid,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian susulan pendedahan Ahmad Zahid yang mengatakan beliau adalah dalang utama menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti berkenaan.
Menurutnya, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Tun M yang ingin mengharamkan UMNO.
Mengulas lanjut, Tun Faisal memaklumkan selepas Tun M meletakkan jawatan, Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mula berbincang dengan pihak UMNO melalui bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa untuk membentuk kerajaan.
Menurutnya, mereka mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong nama salah seorang ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
“Ada tiga cadangan nama, Anwar, Tun M dan Muhyiddin. Anwar dan Tun M tidak cukup jumlah sokongan untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu,” tambahnya.
Bagaimanapun, Tun Faisal tidak mempercayai ada pihak sanggup bersumpah atas nama ALLAH SWT untuk menipu ahli-ahli UMDAP (UMNO dan DAP).
“Kalau laknat ALLAH pun mereka tak takut, apa lagi laknat dan caci maki manusia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!