Faisal Halim kembali beraksi di padang

Faisal kembali memperkuatkan cabaran Selangor selepas dimasukkan Nidzam menggantikan Reziq Banihani. Foto: - FB Selangor FC
Faisal kembali memperkuatkan cabaran Selangor selepas dimasukkan Nidzam menggantikan Reziq Banihani. Foto: - FB Selangor FC
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELANGOR FC dipaksa bekerja keras sebelum meraih tiga mata berharga setelah menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 2-0 dalam saingan Liga Super sebentar tadi.

Biarpun mendominasi perlawanan, skuad Gergasi Merah hanya memecah kebuntuan gol pada minit ke-66 hasil ledakan Ronnie Fernandez.

Ketika menuju penghujung babak kedua, Fernandez menjadi duri dalam daging buat KDN FC apabila meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-86.

Selangor FC menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan KDN FC 2-0 pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini, pada Sabtu. Foto Facebook Selangor FC
Selangor FC menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan KDN FC 2-0 pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini, pada Sabtu. Foto Facebook Selangor FC



Lebih 7,000 penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga dapat mengubat kerinduan apabila berpeluang menyaksikan penampilan kali pertama pemain sensasi, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lalu dan kehadirannya hampir memberikan impak, namun tandukannya pada minit ke-87 terkena palang.

Pemain berusia 26 tahun itu yang mengenakan topeng hitam masuk menggantikan bintang import dari Jordan, Reziq Banihani.

Terdahulu pada separuh masa pertama pasukan tuan rumah berpeluang untuk berada di depan, namun percubaan kapten, Safuwan Baharudin dikeluarkan dengan baik pemain pertahanan lawan.

Peluang juga hadir buat Fernandez, namun sentuhannya yang hanya berdepan penjaga gol KDN FC, Khatul Anuar Md Jalil melepasi palang.

Menuju minit akhir babak pertama, skuad Gergasi Merah hampir dikejutkan pasukan pelawat, namun mujur peluang yang diraih pemain import, Valdumar Augusto gagal disudahkan dengan kemas.

Tiga mata diraih Selangor membolehkan pasukan itu mengumpul 16 mata selepas mengharungi lapan perlawanan untuk menduduki tangga kedua Liga Super.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!