‘Saya bukan seorang pemalas’
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak mengambil peduli kecaman sesetengah pihak selepas dia dilapor tidak akan bersama The Reds pada aksi ulangan pusingan keempat Piala FA menentang kelab kurang ternama, Shrewsbury Town di Anfield 5 Februari depan.
Terdahulu, Klopp memaklumkan bahawa dia tidak akan bersama The Reds pada aksi ulangan tersebut, sebaliknya memberi tugas itu kepada barisan kejurulatihan skuad Bawah 23 tahun Liverpool.
Bukan hanya Klopp, malah pengendali kelahiran Jerman itu turut memberi bayangan The Reds akan sekali lagi menampilkan majoriti barisan pemain muda mereka dalam pertemuan tersebut yang kembali diadakan selepas Liverpool dan Shrewsbury terikat 2-2 sebelum ini.
Menurutnya, dia mempunyai alasan yang kuat untuk tidak bersama The Reds pada aksi itu nanti memandangkan fokusnya kini lebih kepada pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus mengakhiri penantian 30 tahun.
“Saya tidak mahu berada di tengah-tengah semua perdebatan ini. Saya bukan seorang yang revolusioner atau apapun. Jika ada yang mengatakan saya malas kerana tidak hadir pada perlawanan itu nanti, saya tidak boleh mengubah apa-apa, terserah mereka.
“Jika ada yang bercakap apa sahaja mengenai saya, saya tidak dapat mengubahnya. apa yang boleh saya katakan, saya tahu apa yang saya buat sekarang. Kadangkala kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak,” katanya.
Bagi Klopp, ini bukan kali pertama dia tidak bersama Liverpool pada musim 2019/20. Klopp pernah melakukan perkara sama ketika Liverpool berdepan Aston Villa pada aksi suku akhir Piala Liga.
Ketika itu, Klopp terpaksa membuat keputusan antara perjuangan dalam Piala Liga atau Piala Dunia Antara Kelab FIFA. Klopp akhirnya memberi fokus kepada Piala Dunia Antara Kelab FIFA yang menyaksikan Liverpool muncul juara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!