Vivian Kong kongsi pengalaman

Vivian Kong. Foto Agensi
Vivian Kong. Foto Agensi
A
A
A

SIDANG Kemuncak Pembangunan Belia menampilkan ratu lawan pedang Hong Kong, Vivian Kong Man-wai, yang merangkul emas dalam acara Epee Individu Wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Vivian Kong berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang memberi inspirasi dan memperkasakan belia menerusi kuasa transformatif pemikiran positif.

Atlet berusia 30 tahun itu yang kini menduduki takhta pemain nombor satu dunia, menghuraikan bagaimana belia menumpukan rasa gementarnya kepada latihan intensif untuk meningkatkan keyakinannya.

“Setiap kali saya gementar, saya akan tumpukan seluruh tenaga itu kepada latihan. Lebih kuat rasa gementar, lebih banyak saya berlatih, dan itu memberi saya keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik di Olimpik.

“Saya belajar untuk tidak takut atau risau mengenai hasilnya,” katanya pada sesi ketiga sidang kemuncak itu bertajuk Memupuk Pemikiran Positif Dalam Kalangan Orang Muda untuk Masa Depan Lebih Cerah.

Hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lawan pedang, Vivian Kong mengecap kejayaan di Paris meskipun baru sahaja ditimpa kecederaan, termasuk dua kecederaan ligamen.

Susulan pencapaiannya di Olimpik itu, beliau mengumumkan persaraannya daripada lawan pedang profesional dan merancang untuk memulakan kerjaya baharu sambil mengusahakan penubuhan badan kebajikannya sendiri bagi membantu kanak-kanak menceburi bidang sukan.

Bertemakan Menuju Masa Depan Baharu (Set Sail for New Horizons) sidang kemuncak itu merupakan platform untuk keterlibatan anak muda, menarik lebih 500 peserta antarabangsa dari China, Singapura, Jepun, Laos, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ketua Eksekutif Kawasan Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-Chiu, yang merasmikan sidang, menekankan peranan belia dalam membentuk masa depan dan menggariskan komitmen kerajaan untuk membina generasi baharu dengan perspektif global dan penetapan minda positif menerusi inisiatif seperti Kerangka Pembangunan Belia.

Dihadiri lebih 2,400 belia dari seluruh dunia, sidang kemuncak itu menyediakan peluang berharga untuk pertukaran ilmu dan jalinan budaya, mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai hab pembangunan belia dan inovasi.

Malaysia diwakili Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli yang menerusi ucaptamanya mengetengahkan belia sebagai tulang belakang masyarakat dan pemangkin kemajuan masa depan.

Beliau menekankan kepentingan memperkasakan golongan itu dengan 'alat', peluang dan penetapan minda yang diperlukan untuk berjaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!