Pas pertikai kerajaan umum buka mesin ATM ketika kempen PRK

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempersoalkan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pengaktifan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia berikutan kawasan berkenaan masih dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali gus dilihat seolah-olah melanggar prinsip Kerajaan Perpaduan.

“Kita bukanlah pertikaikan kepentingan ATM di Nenggiri, apa yang dipertikaikan ialah kenapa ia diumumkan dalam tempoh kempen PRK? Dengan kenyataan rasmi MOF pula itu, adakah anda nak kata ia satu kebetulan?

“Jika nak bawa mesin ATM, silakanlah. Tiada halangan. Nak bina kilang Tesla pun boleh, bahkan nak bawa Elon Musk buat tinjauan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri yang kita kasihi lagi boleh.

“Tapi buat pengumuman dalam tempoh PRK ini, tidakkah ia melanggar prinsip anda sendiri? Atau memang anda sudah menjadi manusia tiada prinsip?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

MOF akan menyegerakan pengaktifan mesin ATM di DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan bagi memenuhi keperluan asas rakyat di kawasan tersebut.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan perbincangan pihaknya dengan beberapa bank tempatan mendapat respons positif.

PRK Nenggiri diadakan pada 17 Ogos susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional, Mohd Rizwadi Ismail.

Artikel Berkaitan:

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!