Aniq Kasdan gembira angkat berat mula dapat perhatian

Mohamad Aniq Kasdan. Foto Olympic Council of Malaysia
Mohamad Aniq Kasdan. Foto Olympic Council of Malaysia
A
A
A

BADANG negara Mohamad Aniq Kasdan mengakui gembira apabila sukan angkat berat mula meraih perhatian rakyat Malaysia selepas penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu berkata sukan itu kini lebih dikenali terutamanya selepas dia membuktikan bahawa Malaysia mampu memberi tentangan pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Saya tak dapat pingat pun saya tengok pandangan orang ramai terhadap sukan ini sudah berbeza sekarang.

“Saya gembira sebab orang sudah nampak sukan angkat berat ini antara sukan yang boleh jadi pencabar pingat di Olimpik,” katanya kepada pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Paris pada Sabtu.

Mohamad Aniq turut berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang digeruni dalam sukan angkat berat di persada antarabangsa.

“Saya mahu buktikan perkara itu di Kejohanan Dunia tahun depan, mana tahu di Olimpik Los Angeles boleh dapatkan pingat juga,” katanya.

Mohamad Aniq menamatkan kempen di Paris pada tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu angkatan keseluruhan 297kg iaitu 1 kg mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini.

Bagi acara snatch, Mohamad Aniq meleburkan rekod kebangsaan 129 kg milik Muhamad Aznil Bidin, apabila memikul bebanan 130kg namun beliau hanya berjaya dalam percubaan 167kg bagi clean & jerk.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170 kg dan keseluruhan 296 kg.

Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310 kg manakala perak menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan 303 kg manakala wakil Amerika Syarikat Hampton Morris melakukan angkatan 298 kg iaitu hanya berbeza 1kg dengan Mohamad Aniq. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!