Bot berlanggar di Semporna: Dua mayat warga Filipina ditemukan

Dua lelaki warga Filipina yang hilang dalam insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Sebangkat pada Selasa lepas ditemukan maut hari ini di perairan Pulau Bohey Dulang di sini. Gambar hiasan
Dua lelaki warga Filipina yang hilang dalam insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Sebangkat pada Selasa lepas ditemukan maut hari ini di perairan Pulau Bohey Dulang di sini. Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Dua lelaki warga Filipina yang hilang dalam insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Sebangkat pada Selasa lepas ditemukan maut hari ini di perairan Pulau Bohey Dulang di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Fauzi Abd Kadir berkata, kedua-dua mayat ditemukan terapung oleh Pasukan Komando VAT69 yang menjalankan rondaan di kawasan itu.

"Mayat dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat dan siasatan awal polis mendapati kedua-dua mayat yang dijumpai adalah mangsa hilang akibat pelanggaran dua bot yang berlaku pada 6 Ogos di Perairan Pulau Sebangkat.

"Kedua-dua mayat yang ditemukan adalah lelaki berusia 20-an," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan.

"Masyarakat dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan isu yang belum disahihkan di media sosial kerana boleh menimbulkan kerisauan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sebelum ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memaklumkan bahawa dua warga Filipina dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki dilanggar sebuah bot lain di perairan Pulau Sebangkat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!