Belajar menulis genre baharu

 Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

ALLAIN Robbe-Grillet (1922-2008) ialah pengasas atau pelopor novel bentuk baharu, terkenal dengan nama Nouveau Roman. Sebelumnya ialah zaman novelis Honore de Balzac (1799-1850) penganut realisme dan Emile Zola (1840-1902) yang lebih rinci menulis gaya aliran naturalisme.

Grillet mengkaji karya kedua-dua pengarang itu. Balzac ialah perakam keseluruhan aspek kehidupan dalam zamannya dengan kaca mata sebagai seorang ilmuwan. Dia membuat kajian dengan peta, lokasi dan sejarah sesuatu tempat. Deskripsinya sungguh realistik. Dikagumi kerana pengamatannya yang tajam lagi bervariatif.

Zola lebih halus, karyanya sama dengan teks ilmiah yang akur kepada pernyataan faktual dan asli citraannya. Gabungan antara sastera dengan interaksi ilmiah itu membuat karyanya lebih mempesona dan tajam.

Zola meneliti tulisan Taine, manusia ditentukan oleh hukum masa dan persekitaran. Renungannya yang kreatif menjadikan karyanya disukai ramai.

Sebagai kelaziman pengarang Barat sebelum menulis karya kreatif, mereka menulis dahulu struktur dan falsafah pengkaryaannya. Tulisan itu adalah sebagai pedoman mekanisme berkarya, menanam kepercayaan dan idealisme kepengarangan.

Sama ada Balzac atau Zola, menulis dahulu esei tentang karya yang hendak dihasilkan. Dinyatakan definisi, konsep dan prinsip pengkaryaan. Tentu sahaja eseinya itu berhubungan dengan aliran realisme dan naturalisme. Balzac dan Zola pengarang terkenal Perancis itu adalah golongan modenis.

Bagi penulis, pasca modenis pula mengambil contoh tiga pengarang, Jean Paul Sartre (1905-1980), Albert Camus (1913-1960) dan Samuel Beckett (1903-1989). Ketiga-tiga pengarang itu juga menghasilkan tulisan sebelum berkarya.

Jean Paul Sartre menghasilkan enam novel, karya Nausee (1938) menggambarkan sangat autentik tentang manusia, master discourse seluruh karyanya. Watak-wataknya secara skeptikal dan dialogikal, berbahas mencari pengertian kebebasan untuk menentukan kewujudan di dunia ini.

Artikel Berkaitan:

Pilihan sentiasa berada di hadapan untuk menentukan perjalanan hidupnya, menentukan takdirnya dan manusia harus bertanggungjawab dengan pilihannya. Itulah inti pati subjek falsafah eksistensialisme menurut pandangan Jean Paul Sartre.

Albert Camus menulis empat novel novel, The Outsider (1942) karya kanonnya, mencitrakan kehidupan yang penuh kekosongan, tiada mengerti tujuan dan tiada kudrat untuk penentuannya. Karyanya suatu usaha pengarang untuk memahami zamannya.

Meursault protagonisnya berhadapan dengan sebuah metafora pencarian tetapi menemui mitos kenihilan. Bagaikan penziarah mencari syurga di dunia, semuanya tidak masuk akal, irrasional. Itulah sebenarnya sebuah pem-berontakan terhadap falsafah Barat, menjadi inti pati fahaman absurdisme Albert Camus.

TIDAK RASIONAL

Samuel Beckett sangat prolifik dengan 20 drama, sembilan novel dan lima kumpulan puisi tetapi karya besarnya ialah drama Waiting for Godot (1952), memperlihatkan tidak rasional melalui kewujudan masa dan tempat yang tergantung. Subjeknya sukar untuk dikenal pasti, remang-remang tidak menemui penyelesaian.

Implikasi kekejaman peperangan, nasib manusia tidak terbela. Mereka terjebak dalam kancah teka-teki, tiada kesudahannya. Meski dibayangi harapan tetapi hanya terngiang-ngiang, tidak pernah kunjung datang. Itulah dasar kepercayaan surealisme Samuel Beckett.

Eksistensialisme, absurdisme dan surealisme sebenarnya serumpun, sama zaman, sama sumber, sama visi cuma berbeza misi. Induk fahamannya ialah ‘nasib manusia ditentukan oleh manusia itu sendiri’.

Karya Nausee, The Outsider dan Waiting for Godot tidak turun dari langit dan tidak lahir secara kebetulan tetapi hasil perahan memahami manusia, situasi zaman dan impian masa hadapan. Bertahun-tahun tiga sasterawan ini mengkaji falsafah Heidegar, Hegel, Kierkegaard, Husserl dan Nietzsche.

Terlebih dahulu Jean Paul Satre menulis La Transcendence de l’ego (1937), Albert Camus Le Mythe de Sisyphe (1942) dan Samuel Beckett Eleutheria (1947) yang mewacanakan fahaman aliran masing-masing.

La Transcendence de l’ego menjelaskan tentang konsep eksistensialisme bahawa setiap orang itu menentukan takdir hidupnya sendiri. Dia harus bertanggungjawab dengan pilihannya. Jika dia menjadi seorang guru, maka dia hendaklah mempelajari budaya hidup seorang pendidik. Seandainya dia gagal, maka dia bertanggungjawab atas kegagalannya tanpa menyalahkan orang lain atau takdir pilihannya.

Di atas kepercayaan itulah dia menghasilkan novel Nausee menggambarkan masyarakat Perancis dalam keadaan kegelisahan dan menggambarkan falsafah perjuangan hidup menghadapi penderitaan.

Le Mythe de Sisyphe menjelaskan falsafah mitos dewa Sisyphus dan hubungannya dengan dunia absurd yang menjadi teras kepada The Outsider. Albert Camus mencitrakan manusia yang hidupnya terasing, menganut kehidupan yang absurd. Citra manusia pasca perang dunia kedua.

Eleutheria menceritakan sikap manusia terhadap konsep masa dan menghadapi masa hadapan. Selepas perang, masa menjadi beku dan manusia semacam mengharap sesuatu tetapi itu hanya harapan kosong belaka. Falsafah inilah yang diterapkan oleh Samuel Beckett dalam dramanya.

Kenyataan di atas menjelaskan sebagai suatu mekanisme, kita menyediakan dahulu struktur dan idealisme kepengarangan sebelum menghasilkan tek kreatif. Dengan adanya pegangan sedemikian, ia sebagai landasan dan anutan pengkaryaan.

Saya pun belajar mekanisme berkarya tokoh-tokoh besar itu, menyediakan dahulu idealisme berkarya metasejarah. Mengumpulkan data pemikiran tentang mekanismenya, mentafsir peristiwa dengan kaca mata silam, keterkinian dan masa mendatang.

Karya metasejarah tidak mementingkan kronologikal peristiwa, menumpukan kepada gagasan kekuasaan, dimensi politik yang juga berunsur pasca kolonialistik dan mengaplikasikan teori teksdealisme.

Setelah memahami konsep metasejarah, terlebih dahulu saya menulis artikel Menulis Karya Eksprimental Metasejarah dalam Dewan Sastera dan ia memenangi Hadiah Sastera Perdana. Berdasarkan tulisan itu, barulah saya menghasilkan drama dan cerpen metasejarah.

Sebanyak 10 naskhah drama metasejarah telah terkumpul dalam Di Hujung Taming Sari (2022), kesemuanya telah dipentaskan sepanjang lima tahun di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Di samping itu menulis cerpen metasejarah, 20 buah teks telah diterbitkan dengan judul Cinta Junjungan (2023). Dalam Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 pada 3 Ogos lalu, Cinta Junjungan terpilih sebagai kumpulan cerpen terbaik.

Ini menunjukkan karya genre baharu metasejarah telah diterima. Petanda kita menyediakan dahulu konsep, prinsip dan mekanisme berkarya sebelum menghasilkan genre baharu. Sebenarnya saya belajar daripada mekanisme Allain Robbe-Grillet, Honore de Balzac, Emile Zola, Jean Paul Sartre, Albert Camus dan Samuel Beckett.

Ia sekadar sebuah pernyataan, betapa baiknya kita menyediakan dahulu mekanisme berkarya. Manalah tahu ada manfaatnya kepada pengarang-pengarang tanah air yang berhasrat hendak menghasilkan sebuah genre sastera baharu.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!