'Terpaksa kurangkan sukatan susu untuk berjimat'
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita mengakui terpaksa mengurangkan sukatan pemberian susu untuk ibunya yang terlantar akibat diserang sawan empat bulan lalu kerana ingin berjimat.
Normawati Jusoh, 46, berkata, tindakan itu dibuat bagi mengurangkan perbelanjaan memandangkan hanya suaminya, Hassan Omar, 50, sahaja yang bekerja pada ketika ini.
Menurutnya, ibunya, Fatimah Mat, 93, perlu bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas dan lampin pakai buang bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Setiap bulan, saya perlukan tiga hingga empat bungkus susu (jenama) Metabolik basic pada harga RM215 (untuk 2.9 kilogram) dan dua atau tiga bungkus lampin pakai buang.
"Jadi, saya tidak dapat ikut syor doktor supaya memberi minum tiga jam sekali, sebaliknya kurangkan sukatan susu pemberian tiga atau empat kali sehari kerana ingin berjimat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di perumahan Kampung Padang dekat sini pada Sabtu.
Ibu kepada lima anak itu berkata, sebelum ini, mereka mampu menyara kehidupan Fatimah kerana ia tidak memerlukan pemakanan yang khusus dan hanya memakai pakai lampin buang sahaja.
Luah Normawati , namun semua itu berubah selepas ibunya diserang sawan empat bulan lalu, sekali gus mengubah perbelanjaan mereka sekeluarga.
"Selain ibu, kami tanggung anak sulung yang belajar di UUM (Universiti Utara Malaysia, seorang di ILP ( Institut Latihan Perindustrian Kuantan), dua lagi bersekolah menengah di sini dan anak bongsu (di tadika).
"Walaupun orang nampak (macam) senang tapi (sebenarnya) ada perkara lain perlu dibayar seperti rumah, kereta dan sebagainya," katanya yang tidak mampu bekerja.
Bercerita lanjut, Normawati yang juga merupakan anak tunggal memberitahu semua urusan keluarga dilakukan berseorangan memandangkan suaminya mencari rezeki di Kota Tinggi, Johor Bharu.
Disebabkan itu, dia sentiasa berharap agar dirinya sentiasa diberikan kesihatan baik bagi menguruskan insan tersayang dengan sebaiknya.
"Tekanan itu ada, tapi kena redalah, mahu atau tidak saya kena buat sendiri semua, suami kerja jauh.
"Malah, saya juga banyak korban masa, untuk uruskan mereka semua," katanya yang pernah berperang dengan emosi sewaktu menguruskan ahli keluarga.
Dalam pada itu, Normawati menjelaskan adakala mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat demi memastikan susu untuk ibu mencukupi.
Katanya, bagi meringankan beban, permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pernah dibuat sebelum ini, namun ditolak atas alasan tidak layak.
"Saya ada buat permohonan semula, tapi tak pasti status macam mana," luahnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 156094376141 atas nama Normawati Jusoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!