‘Anak saya bukan pelik, tapi unik’
SHAH ALAM - Membesarkan anak menghidap Sindrom Apert iaitu sejenis mutasi genetik yang berlaku sejak lahir bukan sesuatu yang mudah, tetapi perkara tersebut tidak mematahkan semangat membesarkan cahaya mata istimewa itu.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, pengguna akaun Sophia Hann atau Sofia berkata, dia tergamam dan terharu sehingga menitiskan air mata apabila menerima sekuntum bunga daripada anak lelaki bongsunya, Ahnaf Aydeen, 7.
Menurut wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor tersebut, walaupun anak bongsunya menghidap penyakit jarang jumpa, namun dia tidak pernah mengalah dengan takdir, sebaliknya berusaha memberi didikan sehingga kanak-kanak itu mampu membesar seperti orang lain.
“Dulu dia pernah tanya saya mengapa dia berbeza dengan kanak-kanak lain?
Fizikal memang lain kerana jari kaki bercantum, jari tangan tak boleh bengkok tetapi saya selalu tanamkan dalam diri Ahnaf bahawa dia bukan pelik tapi unik.
“Sejak dari itu saya nampak dia semakin selesa untuk sesuaikan diri. Perwatakan dia pun ceria dan cikgu di sekolah juga puji Ahnaf.
Walaupun dia ada kekurangan untuk menulis atau melukis sebab keadaan jari yang susah nak bengkok tapi dia boleh buat. Cuma ambil masa sikit.
"Melihat semangat dia untuk teruskan hidup itulah penguat untuk saya besarkan dia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak menghadapi kesukaran membesarkan anak istimewa tersebut, tetapi yang paling mencabar ialah melihat Ahnaf menjalani beberapa pembedahan melibatkan bahagian tempurung kepala dan tangan.
Tambahnya, kedua-dua pembedahan itu mengambil masa yang lama selain perlu menjalani pelbagai rawatan susulan di hospital.
Ujarnya, meskipun perlu mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur, tetapi semua pengorbanan itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak istimewa tersebut membesar dengan baik dan menjadi insan berguna kepada masyarakat.
“Sebelum ini dia ada jalani pembedahan di bahagian struktur tempurung kepala dan ia mengambil masa lapan jam.
Pembedahan tangan pun ambil masa lima jam. Kita kena kuat masa itu sebab nak jaga sampai sembuh.
“Sejujurnya Ahnaf ini anak yang senang nak jaga dan dengar cakap. Cuma cabaran kami ialah dari segi perubatan dan kesihatan dia sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!