West Ham pinjam Todibo dari Nice
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United menandatangani bek tengah Perancis, Jean-Clair Todibo dari kelab Ligue 1 Nice secara pinjaman, dengan pilihan perpindahan kekal pada musim 2025, umum kelab Liga Perdana itu.
Butiran kewangan tidak didedahkan kedua-dua pihak, namun media British melaporkan bahawa pilihan beli itu bernilai sekitar 40 juta euro.
Pemain berusia 24 tahun itu, yang pernah menyarung jersi Perancis, memulakan kariernya bersama Toulouse sebelum berpindah ke kelab La Liga Barcelona pada 2019.
Dia membuat 136 penampilan untuk Nice sejak perpindahan pada 2021.
“Ini peluang menakjubkan kepada saya untuk bersama di kelab yang mempunyai cita-cita besar, yang benar-benar mahu maju di pengendali baharu.
“Ini masa yang sesuai untuk datang ke West Ham, di tengah-tengah London, dengan penyokong-penyokong menakjubkan dan bersemangat.
“Ya, saya sangat teruja untuk menyarung jersi Kelab Bolasepak West Ham United bermain di Stadium London dalam Liga Perdana Inggeris,” ujar Todibo, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Itali, Juventus.
The Hammers yang menduduki tempat kesembilan musim lalu, memulakan kempen Liga Perdana Inggeris di bawah pengurus baharu Julen Lopetegui pada 17 Ogos di laman sendiri menentang Aston Villa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!