Tangani rasuah dengan rangka tindakan berterusan
SHAH ALAM - Aktiviti rasuah perlu ditangani dengan merangka tindakan berterusan yang berkesan untuk memastikan negara tidak musnah akibat jenayah itu.
Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, tindakan berterusan itu perlu dilaksanakan untuk kesan jangka pendek atau jangka panjang.
“Sebagai sebuah negara Islam, usaha bersungguh-sungguh perlu dibuat bagi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa dengan menghayati nilai agama, aktiviti rasuah dapat dibanteras.
“Tindakan yang perlu dirangka mesti merangkumi usaha pencegahan seperti hukuman dan ilmu.
“Pembenterasan ini adalah tanggungjawab semua pihak kerana kesan buruknya tidak hanya menimpa kepada pelaku sahaja tetapi juga akan melibatkan orang yang tidak melakukannya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada 31 Julai lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, setiap negara Islam memerlukan rangka tindakan yang komprehensif dalam menangani masalah rasuah di negara masing-masing.
Abu Kassim dilaporkan berkata, kajian secara terperinci perlu dilakukan terhadap punca- punca rasuah yang mana keputusan berkenaan dapat membangunkan satu rangka tindakan yang dapat mengatasi masalah terbabit.
Sementara itu, Zainal menegaskan rakyat Malaysia perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa setiap perbuatan sogokan itu ialah rasuah yang mana melibatkan individu mendapatkan harta bukan haknya.
Katanya, menjadi tugas bersama semua umat Islam untuk menghentikan perbuatan mungkar itu daripada terus berleluasa.
“Pada masa sama, rakyat juga mesti bersikap bijak dan bertanggungjawab dalam memilih pemimpin yang berkemampuan dan mempunyai ciri-ciri jujur, amanah dan bertanggungjawab.
“Tidak mengamalkan budaya melobi, mengipas dan membodek ketua secara berlebihan yang berpunca daripada perasaan tamak serta mementingkan diri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!