Rakyat Malaysia di Wuhan bebas jangkitan koronavirus

Koronavirus
Koronavirus
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan novel koronavirus, menurut Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Beliau berkata, ini berdasarkan komunikasi pihaknya dengan rakyat Malaysia berkenaan menerusi panggilan telefon bagi meninjau perkembangan mereka.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 82 rakyat Malaysia di Wuhan dan bandar-bandar sekitarnya yang dalam situasi ‘lockdown’.

“Secara umumnya mereka dalam keadaan tenang dan baik, serta banyak membantu memberikan butiran rakyat Malaysia yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya proses mendapatkan maklumat lanjut mengenai bilangan dan butiran rakyat Malaysia di Wuhan serta bandar-bandar sekitar masih diteruskan.

Buat masa ini, kesemua 82 orang rakyat Malaysia masih berada di tempat tinggal masing-masing, katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat memantau perkembangan semasa di Wuhan di samping menyediakan talian khusus bagi memudahkan rakyat Malaysia menghubungi pejabat konsulat di Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong.

Beliau turut menyambut baik hasrat kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan dan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Malaysia bagi memperincikan butiran serta prosedur mobiliti itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kerajaan cadang bawa pulang rakyat dari Wuhan

Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu.

Kerajaan China dilapor melaksanakan perintah berkurung membabitkan jutaan penduduk di beberapa bandar raya yang dikesan dilanda wabak koronavirus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!