Masalah puntung tak selesai jika perokok tiada kesedaran sivik

Keratan akhbar muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad
Keratan akhbar muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah lambakan puntung rokok di merata tempat tidak akan berkurang jika perokok tidak mempunyai kesedaran sivik dan disiplin dalam diri masing-masing.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, perokok tidak boleh mengharap orang lain untuk mendisiplin dan menyelesaikan masalah pencemaran tersebut.

“Kalau diperhatikan di pantai dalam satu hingga dua kilometer selama dua jam, boleh dapat lebih 100 hingga 300 puntung rokok.

“Puntung rokok di laut boleh memberikan kesan kepada hidupan liar marin. Kaedah terbaik ialah tingkatkan tahap disiplin perokok sendiri, mereka perlu menghormati orang lain dan alam sekitar,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, data Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mendedahkan sebanyak 4.5 trilion puntung rokok atau 766 tan berakhir di lautan setiap tahun.

Pengerusi Kelab Geng Plastik Hijau Terengganu atau lebih dikenali sebagai Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, sampah yang dikategorikan sukar untuk dikutip itu ada di setiap pantai yang dikunjungi pelancong.

Zulkefli berkata, sekurang-kurangnya terdapat antara 1,000 hingga 2,000 puntung rokok yang boleh dikumpul dengan mudah di setiap pantai yang dikunjungi GPI.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, isu tersebut bukan perkara baharu tetapi sudah lama dibincangkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kawasan kelihatan tidak bersih tetapi turut menimbulkan perasaan kurang selesa.

Artikel Berkaitan:

“Semua perokok mesti tahu yang majoriti orang tidak suka asap dan puntung rokok di merata tempat. Jadi, mereka perlu memastikan tabiat merokok dilakukan jauh daripada orang lain serta membuang puntung rokok ditempat yang sepatutnya.

“Mereka perlu sedar bahawa bahan yang terkandung dalam puntung rokok adalah toksik atau beracun. Bahan seperti arsenik dan plumbum dibimbangi masuk ke lautan atau ekosistem akuatik akan memberi kesan kepada ikan dan haiwan yang memakan hidupan berkenaan,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!